Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

USM pelopori kaedah radiologi intervensi rawat pesakit kanser


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KOTA BHARU, 28 Julai (Bernama) -- Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) terus mempelopori segmen perubatan di pantai timur dengan menyediakan kaedah rawatan intervensi radiologi bagi merawat pelbagai penyakit kanser.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Dr Asma Ismail berkata melalui kaedah itu pakar bedah akan melakukan pembedahan secara 'image guided surgery’ iaitu berpandukan imej yang dipaparkan di skrin sebelum membunuh sel kanser berkenaan menggunakan laser atau melalui wayar yang dimasukkan ke dalam salur darah.

"Kaedah ini hanya memfokuskan kepada kawasan yang dijangkiti kanser dengan hanya melibatkan pembedahan yang kecil, hasil yang lebih baik dengan risiko yang rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar East Coast Society of Neuroradiologi and Interventional Radiology (ECSNIR) ke-8 yang turut dihadiri Pengarah Kampus dan HUSM Prof Datuk Ahmad Sukari Halim serta Pengerusi Persatuan ECSNIR Prof Madya Dr Mohd Shafie Abdullah di sini, hari ini.

Seminar yang bertemakan 'Exploring New Frontiers' itu berlangsung selama dua hari  bermula hari ini melibatkan kira-kira 300 peserta termasuk pakar radiologi, pegawai perubatan, pelajar sarjana perubatan dan pembantu perubatan selain dihadiri panel jemputan dari Itali dan Thailand.

Ia bertujuan memperkenalkan rawatan terkini penyakit ketumbuhan (onkologi) khususnya kaedah radiologi intervensi dan kesihatan wanita.

Dr Asma berkata program tersebut diharap menjadi sebahagian penghubung jalan yang sudah dirintis sekian lama dalam melestarikan kehidupan pesakit.

Dalam pada itu Penyelaras Unit Perawatan Radiologi Intervensi (AMIEN) HUSM Dr Chandran Nadarajan berkata kaedah rawatan terbaharu itu makin mendapat sambutan apabila kira-kira tiga pesakit menjalani pembedahan itu setiap hari di hospital itu.

Katanya kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan itu terdiri daripada pesakit kanser hati, paru-paru dan buah pinggang.

"Pesakit yang datang seawal jangkitan kanser dikenalpasti mempunyai peluang yang lebih cerah untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan itu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel