Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor rancang laksana inisiatif berimpak tinggi tanpa ketepikan luar bandar


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KULAI, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor merancang untuk melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di beberapa daerah di negeri ini selain perancangan sektor  ekonomi  yang  lebih spesifik untuk memeriahkan lagi pembangunan luar bandar.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang mempunyai pembangunan holistik, progresif dan moden tanpa mengenepikan masyarakat  luar bandar.

Sebagai negeri kedua tertinggi di Malaysia yang mempunyai 73 tanah rancangan FELDA merangkumi 15 kawasan Parlimen, kerajaan negeri mempunyai visi untuk mengusahakan dan menguruskan tanah-tanah terbiar secara sistematik.

Menurut beliau, inisiatif ini mampu untuk menjana pendapatan peneroka memandangkan peneroka tidak boleh bergantung sepenuhnya pada tanaman sawit kerana harganya tidak menentu. 

"Kerajaan negeri kekal memastikan kelangsungan tanah rancangan FELDA menerusi  inisiatif baharu dengan memperkenalkan inisiatif Revolusi Hijau dan Pembangunan Tanah Terbiar,” katanya dalam ucapan pada Majlis Himpunan warga Felda Wilayah Johor Bahru di Felda Inai di sini hari ini.

Turut hadir ADUN Bukit Permai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor Mohd Halim Hasbullah. 

Beliau berkata, untuk projek perintis, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Nanas Johor melalui tanaman nanas MD2 di tanah di Felda Ulu Tebrau,"

Menurutnya, kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak meminggirkan golongan peneroka dan amat prihatin dengan isu-isu  berkaitan peneroka.

Beliau berkata beberapa isu berbangkit yang membelenggu kehidupan peneroka telah pun diselesaikan menerusi lima inisiatif pemulihan FELDA menerusi bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM6.23 bilion.

Untuk rekod, sejumlah 15,378 daripada 17,554 peneroka di Felda Wilayah Johor Bahru telahpun dikurniakan geran hak milik tanah, katanya. 

Selain itu, seramai 10,346 peneroka daripada 11, 418 peneroka di Felda Wilayah Segamat juga telah diberikan geran hak milik tanah sementara kesemua peneroka di Kulai iaitu seramai 1,447 orang juga telah menerima geran hak milik tanah.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel