Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mohd Fadzrul Danel mahu bantu Kedah pada Piala Malaysia, AFC


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





ALOR SETAR, 28 Julai (Bernama) -- Pemain muda Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam mahu menjadikan kejayaannya membantu Kedah menjulang Piala FA sebagai semangat untuk berusaha lebih keras pada perlawanan Piala Malaysia dan Piala Liga Juara-Juara Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada musim depan.

Mohd Fadzrul Danel, 21, yang merupakan pemain tengah pasukan Lang Merah berkata dia sama sekali tidak menyangka dapat menjaringkan gol yang sekali gus menewaskan Perak 1-0, pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

“Ini merupakan perlawanan terbesar dalam hidup saya dan sebelum masuk padang, ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) tidak banyak bercakap dan hanya berpesan kepada saya kalau dapat bola, terus cuba untuk jaringkan gol dan saya sama sekali tidak sangka mampu lakukan perkara itu.

“Saya akan bawa pengalaman yang ditimba ini, untuk perlawanan Piala Malaysia dan Piala AFC akan datang dan akan buat persediaan lebih baik untuk bantu Kedah julang piala yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, hari ini

Terdahulu, pemain pasukan Kedah yang menaiki pesawat Firefly (FY1672) selamat tiba di LTSAH bersama Piala FA yang dimenangi, pada pukul 4.10 petang sebelum disambut ahli keluarga dan para penyokong.

Mohd Fadzrul Danel berkata dia berterima kasih kepada keluarga dan penyokong yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan tahniah, selepas berjaya membantu Kedah menjulang kejuaraan pada perlawanan Piala FA semalam.

“Saya gembira sangat semalam sampai tidak lena tidur. Penyokong pula banyak mengirimkan ucapan tahniah di laman sosial media saya dan itu membuatkan saya rasa cukup terharu,” katanya.

Mohd Fadzrul Danel muncul wira skuad Lang Merah malam tadi apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-105, sekaligus memusnahkan harapan Perak untuk menjulang Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

Kejayaan itu juga meletakkan Kedah menyamai rekod kejuaraan lima kali Selangor selepas turut meraih gelaran juara pada 1996, 2007, 2008 dan 2017 selain melayakkan mereka beraksi pada pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2020.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel