Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KKMM komited wujud rakan strategik jadi ejen pemasaran dasar kerajaan


Tarikh kemaskini: 28/07/2019




IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sentiasa komited dalam mewujudkan lebih banyak rakan strategik, yang akan menjadi ejen pemasaran dasar-dasar kerajaan.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad berkata antaranya ialah penubuhan Kelab Malaysiaku di sekolah menengah, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai satu kegiatan kokurikulum pelajar.

"Sehingga kini, sebanyak 809 buah Kelab Malaysiaku dengan keahlian seramai 28,315 orang telah ditubuhkan di seluruh negara.

"Di Perak sahaja, sebanyak 64 buah Kelab Malaysiaku dengan keahlian 2,560 orang telah ditubuhkan," katanya dalam ucapan sempena Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama strategik KPM itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Roselindawati Abdul Rahman.

Beliau berkata Pertandingan Sketsa Rukun Negara merupakan aktiviti tahunan Kelab Malaysiaku dan kali ini pertama kali dibawa ke peringkat kebangsaan, berbanding hanya peringkat negeri sebelum ini, susulan sambutan yang menggalakkan daripada pelajar sekolah.

Katanya dianggarkan seramai 53,000 pelajar telah didedahkan dengan program itu sejak dimulakan pada 2012, malah penyertaan sekolah turut meningkat sebanyak 125 penyertaan dengan penglibatan 6,633 pelajar berbanding 114 penyertaan sekolah dengan penglibatan 6,513 orang pada tahun lepas.

Suriani berkata penglibatan pelajar-pelajar itu selaras dengan objektif pertandingan iaitu memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda rakyat negara ini, memberi kefahaman dan penghayatan mengenai Rukun Negara, selain membina generasi belia berilmu dan mempunyai nilai murni serta integriti.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal Melaka, dinobatkan sebagai johan pertandingan selepas mengatasi empat sekolah di peringkat akhir dengan sketsa bertajuk Muhibah dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM5,000, plak serta sijil penyertaan.

Naib johan dimenangi SMK Sultan Ibrahim dari Johor yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, plak serta sijil penyertaan, manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa dari Kelantan yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, plak serta sijil penyertaan.

Guru kelab dari SMK Durian Tunggal, Chan Chin Ho berkata, latihan bersungguh-sungguh dan displin yang ditunjukkan oleh 10 ahli kumpulan itu menjadi kunci kejayaan mereka, pada pertandingan bertemakan 'Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih' itu.

"Bagi saya pertandingan seumpama ini sangat bagus kerana boleh mencungkil bakat pelajar sekolah dan dalam pada masa yang sama dapat menyampaikan mesej pertandingan ini," katanya.

Chan berkata kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu akan meneruskan kempen dengan mempersembahkan sketsa berkenaan di sekolah mereka, untuk memberi penghayatan setiap prinsip Rukun Negara kepada semua pelajar lain.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel