Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tumpaskan sindiket penyeludupan rokok di Kota Tinggi


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KOTA TINGGI, 28 Julai (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok selepas menahan lima individu termasuk warga asing dan merampas sejumlah rokok putih bernilai RM710,000 dalam serbuan di sebuah premis, di Jalan Johor, Taman Sri Saujana, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berusia antara 28 hingga 55 tahun itu, ditahan dalam serbuan pukul 2.30 petang pada 25 Julai lepas.

Beliau berkata rampasan berkenaan merupakan kejayaan terbesar Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi pada tahun ini.

“Hasil pemeriksaan di salah sebuah kontena dalam premis berkenaan, kita menemukan 362 kotak rokok seludup jenis “ R.G.D Magnum”  yang dalam setiap kotak berkenaan mempunyai 50 karton rokok.

“Rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran dan warga asing berkenaan merupakan perantara urusan penyeludupan dan warga tempatan pula adalah rakan kongsi mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ahsmon berkata sindiket tersebut dipercayai aktif semenjak tiga bulan lepas dan rokok seludup berkenaan yang dijual RM35 bagi satu karton diedarkan bagi pasaran tempatan seluruh negara ini.

Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati salah seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang ditahan, merupakan orang yang dikehendaki bersabit kes khianat di bawah Sesyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sementara itu, seorang suspek lelaki warga asing berusia 25 tahun pula, gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri di bawah Sesyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau percaya dengan tertumpasnya sindiket berkenaan, polis berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok terutama di perairan Kota Tinggi.

Ahsmon berkata kesemua suspek kini direman selama 15 hari bermula 25 Julai sehingga 8 Ogos untuk disiasat dibawah Sesyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel