Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tenun dari tirai besi untuk hari istimewa Raja Permasuri Agong


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





Oleh Siti Salwa Shaari

PEKAN, 28 Julai (Bernama) -- Bukan calang-calang orang mampu menjadi tukang corak dan pereka pakaian kepada golongan kenamaan lebih-lebih lagi yang bergelar kerabat diraja, namun sekumpulan ‘penghuni’ di Penjara Penor amat bertuah apabila diberi kepercayaan untuk menenun persalinan khas Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa Istiadat Pertabalan pada Selasa. 

Bagi Pak Wahab, 52, orang yang menjadi ‘tulang belakang’ untuk mereka serta mencorak kain untuk persalinan Raja Permasuri Agong semasa pertabalan nanti, menganggap peluang yang diberikan oleh pihak istana itu cukup bermakna untuk insan yang berada di sebalik tirai besi seperti dirinya.

"Tak sangka saya berpeluang berbakti kepada negara walaupun berstatus banduan... mungkin orang melihat sumbangan saya kecil, tapi pengertiannya cukup mendalam untuk saya yang terkurung di sini," katanya.

Beliau, yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat bermula Januari 1999 kerana kesalahan senjata api, adalah individu yang bertanggungjawab memastikan graf corak yang dilakar olehnya dapat diterjemahkan dengan menggunakan 4,600 benang sutera untuk dijadikan kain.

"Khusus untuk istiadat pertabalan, saya diminta untuk melukis corak jata negeri Pahang dan corak bulan dan bintang yang melambangkan negeri Johor, mengambil kira asal usul Raja Permaisuri Agong,” kata Pak Wahab yang terharu dengan kepercayaan diberikan.

Pak Wahab, yang berasal dari Sungai Buloh, berkata lazimnya corak pilihan Tunku Azizah bermotifkan flora dan fauna, namun apabila diminta menghasilkan corak baharu beliau hanya beranggapan baginda mahukan kelainan.

"Rupanya ia untuk istiadat yang bersejarah. Saya mengambil masa selama hampir seminggu untuk memikirkan bagaimana mahu merealisasikan corak itu pada helaian benang, kerana perincian gading gajah pada jata Pahang dan bentuk bintang agak sukar.

"Setiap bucu perlu dikira dengan tepat. Saya mula dengan lakaran kasar di kertas kosong berpandukan kepada lakaran Tunku Azizah yang diserahkan warden, sebelum dilukis semula kepada kertas graf untuk mendapatkan ukuran lebih tepat," katanya.

Pak Wahab mengakui agak gementar apabila perlu mempersembahkan corak itu kepada Tunku Azizah untuk kelulusan, dan sepanjang penghasilan kain itu, baginda telah tiga kali mencemar duli ke bengkel tenun di Penjara Penor bagi melihat perjalanan prosesnya.

Melihat kepada ketelitian Pak Wahab memeriksa setiap helaian benang yang ditenun rakan banduan, ramai yang mungkin bertanya berapa lama beliau sudah melakukan tugasan itu yang menurutnya kemahiran berkenaan hanya dipelajari setelah 'menghuni' Penjara Penor.

"Tapi saya bertuah kerana sentiasa mendapat bimbingan Tunku Azizah. Baginda memang dikenali dengan minatnya terhadap tenun Pahang... Malah setiap kali ke sini, baginda akan membawa contoh kain yang baginda berkenan sama ada dari dalam atau luar negara.

"Baginda minta saya untuk teliti corak itu, jika dapat dilakukan pada tenun. Baginda juga mengurniakan buku-buku berkaitan seni reka, buku lukisan dan pensel warna yang membolehkan saya melakar corak baharu yang terlintas di fikiran," katanya.

Seorang lagi penghuni Penjara Penor, yang dikenali sebagai Abe, 32  dipilih pengurusan penjara untuk menenun tiga pasang kain berwarna kuning dan sepasang berwarna putih gading untuk dipakai semasa istiadat berkenaan, walaupun dianggap agak baharu dalam dunia tenun.

Anak jati Machang, Kelantan itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan semua kain itu adalah kegunaan pada hari istimewa Tunku Azizah kerana dirinya baharu empat tahun berjinak dengan dunia tenun, berbanding senior kerana terdapat 25 yang berkebolehan mengendalikan kek.

"Proses menenun dimulakan pada bulan April dan pada bulan Ramadan, kami diberikan peluang untuk berada di bengkel tenun dari 7.00 pagi sehingga 10 malam. Proses menenun memang agak rumit kerana setiap helaian benang perlu dikira dan jika silap, benang perlu dibuka semula.

"Paling rumit sudah tentu di bahagian kepala kain kerana bercorak dan di situ sahaja memerlukan masa antara dua ke tiga minggu untuk disiapkan kerana saya hanya boleh menenun kira-kira enam inci kain sehari.

"Bagi yang tidak sabar, mungkin mereka tidak berminat kerana untuk empat helai benang asal, kami perlu masukkan sehelai benang perak untuk memberi kesan lebih cantik apabila dipakai," katanya.

Abe menambah walaupun kerjanya rumit, tapi seronok apabila Raja Permaisuri Agong bertitah kepada warden bahawa baginda berpuas hati dengan hasil tangan mereka, yang secara keseluruhannya terdapat 60 banduan di Penjara Penor yang dilatih di bengkel tenun.

Abe, yang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas jenayah seksual bermula 2015, berkata beliau diberitahu bahawa corak unit persalinan Tunku Azizah untuk istiadat pertabalan tidak akan ditenun pada kain lain bagi memelihara nilai eksklusif dan sejarahnya.

Menyentuh keistimewaan tenunan Pahang yang menjadi busana Raja Permaisuri Agong, Abe berkata: “Kami di sini tiada televisyen tapi saya masih berharap mendapat peluang untuk melihat gambar Raja Permaisuri Agong mengenakan persalinan itu dan dapat melihat hasil akhir kain tenunan kami.”

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel