Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YBR sasar 71 program Hero Komuniti sepanjang tahun


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KUALA NERUS, 28 Julai (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyasarkan sebanyak 71 program khidmat sukarelawan masyarakat oleh pelajar tajaannya yang dikenali sebagai Hero Komuniti akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin berkata, setakat ini, hampir 30 program telah dijalankan dan jumlah itu akan meningkat lebih banyak apabila pelajar bercuti semester selama dua bulan tidak lama lagi.

Beliau berkata pelajar berkenaan melakukan pelbagai program khidmat komuniti yang sesuai dengan kemahiran mereka terutama berkaitan pendidikan, kebersihan kawasan tumpuan awam, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan spesis terancam seperti penyu, tuntung serta terumbu karang.

Tahun ini, YBR turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MERCY Malaysia untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan mereka untuk membantu komuniti terutama semasa dan selepas berlakunya bencana alam seperti banjir, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis meraikan 600 peserta Kursus Pembangunan Kemanusiaan sempena Program Pembangunan Pelajar Tajaan YBR di Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Dr Rosli Azad Khan; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana (NADMA Malaysia) Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Zahari Razali dan Pengarah Pembangunan Program Strategik Mercy, Hafiz Amirrol. 

Kursus persediaan asas itu disertai pelajar tajaan YBR terdiri daripada pelajar diploma dari universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej swasta di seluruh negara.

Ia adalah program siri kedua bagi tahun ini selepas siri pertama yang diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Timur di Kemaman dengan melibatkan 250 pelajar Ijazah Sarjana Muda pada Februari lalu.

Norashikin berkata kursus itu turut memberi tumpuan dalam meningkatkan keyakinan, memperbaiki cara berkomunikasi dan kebolehan berbahasa, serta memperluaskan sempadan pemikiran dan pengetahuan pelajar dalam melahirkan pelajar yang holistik sebagai aset negara.

"YBR sangat berharap agar pelajar tajaan kami ini dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberi untuk meneruskan kerja-kerja kesukarelawanan dan bersedia menyertai misi kemanusiaan sekiranya diperlukan pada masa akan datang," katanya. 

Pada majlis itu, YBR turut menyerahkan 400 unit khemah  untuk mangsa banjir kepada NADMA agar diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Sejak ditubuhkan pada 2007 sehingga 1 Januari lalu, YBR telah menaja lebih 4,900 pelajar untuk meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dengan nilai tajaan keseluruhan melebihi RM132.2 juta

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel