Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri bukan untuk menekan pemandu - Mahfuz


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





ALOR SETAR, 28 Julai (Bernama) -- Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas persendirian bukan bertujuan untuk menekan golongan itu sebaliknya bagi melindungi mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata skim itu yang disediakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan insentif bagi menjaga kebajikan pemandu dan keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa bekerja. 

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat sebagai menekan mereka tetapi ia adalah untuk melindungi mereka sekeluarga tetapi mungkin masih ada yang kurang jelas.

“Sebab itu, Perkeso pergiatkan lagi usaha dengan turun ke semua negeri untuk beri taklimat dan penjelasan mengenai skim berkenaan.

“Sehingga 24 Julai lepas hanya 26,653 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim tersebut dan angka itu dilihat sangat sedikit berbanding jumlah keseluruhan pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang ada di negara kita iaitu 318,283 orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program dan sesi dialog mengenai skim itu bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah negeri Kedah.

Sementara itu, Mahfuz berkata walaupun terdapat beberapa rungutan daripada pemandu semasa sesi dialog hari ini, ada juga antara mereka yang bersedia mencarum skim tersebut bagi menerima manfaatnya.

Menurutnya, antara rungutan itu ialah kesukaran untuk pemandu hadir ke pejabat Perkeso setiap kali mahu membuat caruman bulanan.

“Jadi selepas perbincangan, Perkeso dan persatuan pemandu bersetuju untuk turun padang sekali sebulan sebagai usaha untuk memudahkan pemandu bayar caruman.

“Tetapi, saya cadangkan kalau tidak boleh bayar setahun, paling tidak buat bayaran tiga bulan terus kerana kalau setiap sebulan pegawai Perkeso hendak turun ke kawasan mereka susah sebab tidak cukup kakitangan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel