Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Skuad Lang Merah, juara Piala FA dirai esok


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





PENDANG, 28 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan majlis meraikan kajayaan skuad ‘Lang Merah’ menjulang Piala FA 2019 di dataran Wisma Darul Aman, di Alor Setar esok.

Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata majlis itu bertujuan memberi peluang kepada penyokong dan rakyat Kedah meraikan kejayaan itu bersama-sama pemain dan pegawai pasukan serta melihat sendiri Piala FA 2019.

“Kita jemput semua penyokong untuk datang ke dataran Wisma Darul Aman esok pada pukul 1 petang, kita bagi peluang untuk mereka melihat sendiri wira kita yang telah berhempas pulas untuk memastikan kemenangan milik kita.

“Ianya juga sebagai tanda terima kasih kepada penyokong Kedah yang setia di belakang pemain kita sehingga menjadi juara Piala FA,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah imbuhan kepada pemain susulan kejayaan itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata ia adalah rahsia antara KFA dan pemain.

Tanpa mengulas secara terperinci, beliau berkata ada imbuhan yang disediakan untuk mereka dan ia tidaklah terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil.

“Sebenarnya pemain sendiri beritahu soal duit itu bukan menjadi penentu mereka untuk beraksi cemerlang di atas padang tetapi ia adalah atas sokongan rakyat Kedah sendiri yang sanggup turun ke stadium.

“Pemain sangat menghargai penyokong mereka dan kerana itulah mereka cuba habis-habisan untuk menjaringkan gol dan pada masa sama saya akui Perak merupakan pasukan yang kuat, tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi mereka kerana kita ada penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim yang hebat dan dia dipilih selaku pemain terbaik perlawanan,” katanya.

Kedah muncul juara Piala FA 2019 selepas menundukkan Perak 1-0 menerusi jaringan pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kejayaan menjulang trofi itu adalah yang kelima buat Kedah dengan kali terakhir dua tahun lalu selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel