Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perketat keselamatan pusat pameran, servis kenderaan


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KUALA TERENGGANU, 28 Julai (Bernama) -- Pusat pameran dan pusat servis kenderaan di negeri ini diingatkan supaya memperketat kawalan keselamatan di premis masing-masing susulan insiden kecurian kenderaan di lokasi seumpama itu.

Insiden terbaru dilaporkan berlaku pada awal pagi Jumaat lalu di sini yang menyaksikan tiga kenderaan pacuan empat roda bernilai hampir RM400,000 dilarikan.

Pada Februari lepas, empat kenderaan dilarikan dari sebuah premis pameran dan servis di Kuala Nerus membabitkan kerugian hampir RM540,000.

Ketika membuat peringatan itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata polis percaya ada kaitan antara dua kes berkenaan berdasarkan modus operandi  iaitu mengumpil tingkap atau pintu sebelum beberapa kenderaan dilarikan pada satu masa.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini, beliau berkata: "Kita dapati aspek kawalan keselamatan di premis terlibat sangat lemah seperti tiada pengawal keselamatan bertugas, sistem penggera keselamatan dan kamera litar tertutup juga tidak berfungsi."

Beliau berkata kunci kenderaan juga sepatutnya disimpan di dalam peti besi, bukannya di dalam laci misalnya yang memudahkan penjenayah yang memecah masuk.

Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan bagi kedua-dua kes berkenaan dan polis menyiasat semua aspek termasuk sama ada kenderaan yang dilarikan itu diseludup ke negara jiran atau dileraikan sebagai alat ganti kenderaan.

Dalam perkembangan lain, Aidi berkata polis kontinjen Terengganu menunjukkan pencapaian baik dari segi kadar penyelesaian kes jenayah negeri dan tangkapan kes dadah.

"Sebanyak 570 kes atau 60.7 peratus daripada 939 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berjaya diselesaikan sekali gus melebihi  Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan iaitu 45 peratus.

Jumlah tangkapan pengedar dadah juga meningkat daripada 25 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lepas kepada 44 orang bagi tempoh sama tahun ini, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel