Kerjasama semua pihak bantu tolak budaya merokok
Tarikh kemaskini: 27/07/2019

KUNAK, 27 Julai (Bernama) -- Kilang penapisan minyak sawit, Kunak Refinery Sdn Bhd yang menerima Anugerah Blue Ribbon pada tahun ini kerana bebas amalan merokok di tempat bekerja, adalah model organisasi baik dalam membantu kerajaan menolak budaya merokok.
Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif berkata kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta dan agensi kerajaan menolak budaya rokok membolehkan negara ke arah penghasilan generasi tanpa merokok.
“Di Sabah, 60 premis termasuk kategori tempat makan dianugerahkan Reben Biru dan Kunak Refinery menerima anugerah itu bagi dua tahun berturut-turut dan menjadikannya satu-satunya kilang yang diberikan pengiktiran di Sabah.
“Anugerah itu juga menunjukkan keprihatinan majikan terhadap kesihatan pekerjanya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan minggu tanpa tembakau peringkat Sabah di sini, hari ini.
Program Anugerah Reben Biru diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (Who) bagi mengiktiraf premis yang bebas dari sebarang amalan merokok.
Dalam pada itu, Norazlinah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak mahu tindakan bersepadu seperti penguatkuasaan, pendidikan kesihatan melalui kempen media, aktiviti luar jangkauan kepada kumpulan sasar,perkhidmatan berhenti merokok dan kenaikan cukai rokok perlu terus diperkasakan.
Katanya juga ketua masyarakat di pelbagai peringkat boleh menjadi jambatan menyampaikan kesedaran bahaya merokok serta penggunaan tembakau dalam kehidupan sehari.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata pihaknya mengambil inisiatif termasuk berkempen bagi memperkasakan golongan bukan perokok agar mereka mampu mengatakan tidak kepada asap rokok ‘second hand’ atau asap rokok basi.
“Misalnya sambutan mingu tanpa tembakau ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rokok basi kepada perokok pasif yang membawa risiko penyakit jantung dan kardiovaskular termasuk strok,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan kajian kesihatan seramai 2.3 juta orang terdedah kepada asap rokok di tempat kerja, di rumah (7.6 juta orang) serta 8.6 juta orang ketika mengunjungi restoran.
--BERNAMA
|