Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong diteruskan


Tarikh kemaskini: 27/07/2019





KLUANG, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor akan meneruskan projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di Parit Sulong dekat Batu Pahat.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata keputusan dibuat berikutan penutupan tapak pelupusan sisa pepejal Ladang CEP 1, di Simpang Renggam, di sini, yang mencapai tahap maksimum dan kritikal.

"Alhamdulillah kita sudah berjaya menutup tapak pelupusan di Simpang Renggam dan sehingga hari ini, projek  sisa kepada tenaga WTE (Waste-to-energy) di Bukit Payong kita akan teruskan.

"Kajian telah dilakukan, kalau yang lepas, kita buat tapak pelupusan terbuka tetapi yang sekarang kita buat WTE," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perpaduan di Hati sempena minggu perpaduan peringkat negeri Johor di Dewan Muafakat Simpang Renggam, di sini hari ini.

Pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong itu sebelum ini pernah ditangguhkan sementara waktu berikutan bantahan berterusan oleh penduduk kawasan berkenaan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri bertindak menangguhkan projek berkenaan setelah mengambil kira pandangan rakyat selain akan membuat kajian semula terhadap projek itu sebelum mencapai keputusan muktamad.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan menyatakan kerajaan akan meneruskan projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong.

Sementara itu, mengenai Karnival Perpaduan Di Hati anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) Negeri Johor berkenaan, Dr Sahruddin berharap ia dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

"Alhamdulillah ramai peserta hari ini hampir 2,000 orang, jadi diharapkan dengan program sedemikian dapat mempereratkan hubungan antara semua masyarakat berbilang kaum.

"Kena ingat Johor itu muafakat dan muafakat itu berkat, apa-apa pun yang kita lakukan atau tindakan kita, kita kena sepakat," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel