Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nangka madu, sarang walit sedang dibincang untuk dieksport ke China


Tarikh kemaskini: 27/07/2019





PONTIAN, 27 Julai (Bernama) -- Selepas kejayaan eksport durian Musang King sejuk beku dan nanas MD2 ke China, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang mengadakan perbincangan dengan China bagi membolehkan nangka madu dan sarang burung walit pula dieksport ke negara itu.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata buat masa ini beberapa prosedur dan protokol eksport seperti mana durian Musang King dan nanas MD2, sedang disiapkan oleh pihak MOA bagi menjayakan hasrat berkenaan.

"Saya telah melihat beberapa potensi seperti durian sejuk beku yang dapat dieskport (ke China) secara sebiji di samping pulp dan pes dan juga nanas MD2 yang dapat tembusi pasaran China dan Timur Tengah.

"Kita dalam usaha memastikan beberapa lagi buah-buahan seperti nangka madu dan sarang burung walit yang sekarang ini masih dalam perbincangan untuk kita dapat eksport," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Tani Johor dan Hari Bertemu Pelanggan MOA Inc negeri Johor di Dataran Pontian, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Salahuddin berkata nangka madu antaranya ditanam secara meluas di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.

Beliau berkata sarang walit mentah tanpa dibersihkan mampu dijual antara RM3,000 hingga RM4,000 sekilo di pasaran China manakala sarang walit mentah bersih antara RM8,000 hingga RM10,000.

"Kita (MOA) sedang bincang supaya kita boleh eksport lebih banyak sarang burung walit mentah bersih supaya kita boleh pastikan pemain dapat harga yang agak baik. Akhirnya, saya mahu pengusaha tempatan dapat pulangan lumayan," katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata Johor akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019.

Beliau berkata sambutan berkenaan yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 29 Nov ini di Padang Angsana Mall Johor Bahru.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel