Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aktiviti pelancongan di Tok Bali meningkat selepas kerajaan sambung pembinaan ECRL


Tarikh kemaskini: 26/07/2019





PASIR PUTEH, 26 Julai (Bernama) -- Aktiviti pelancongan di Tok Bali di sini, dilihat semakin rancak selepas kerajaan mengumumkan untuk menyambung kembali pembinaan projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dihentikan seketika selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Tinjauan Bernama di kawasan yang terkenal dengan kawasan pesisir pantai yang memutih itu mendapati banyak bangunan baharu dibina dipercayai untuk tujuan perhotelan dan inap desa.

Seorang pengusaha rumah inap desa, Razali Ibrahim, 50, dari Kampung Pulau Tok Kambing di sini, berkata, pemain industri pelancongan tidak sabar untuk menunggu stesen ECRL yang akan dibina di kawasan itu disiapkan.

Menerusi stesen berkenaan, beliau yakin lebih ramai pelancong dari luar Kelantan yang akan mengunjungi Tok Bali menerusi kemudahan pengangkutan awam itu.

"Sebagai persediaan, pengusaha hotel di kawasan Tok Bali yang menyedari perkara ini telah membina lebih banyak hotel dan tempat penginapan agar dapat memenuhi permintaan nanti.

“Pengunjung juga semestinya akan memilih penginapan yang paling dekat dengan stesen ECRL dan senang dicapai dengan menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Seorang peniaga ikan di Pasar Lama Tok Bali, Mohd Syaffiq Akmal Mohd Azmi, 23, berkata selain sektor pelancongan, beliau yakin ECRL juga akan membawa manfaat kepada industri perikanan di kawasan berkenaan.

"Tok Bali adalah kawasan pendaratan ikan yang sangat berkait rapat dengan industri perkapalan dan kami melihat pada masa ini, telah banyak bangunan kedai dan rumah dibina, jualan hartanah juga dikatakan semakin rancak, mungkin sebagai persiapan awal.

"Setelah projek pembangunan pengangkutan ini siap, pemain industri perikanan boleh menembusi pasaran di Kuala Lumpur dalam tempoh masa yang singkat menggunakan kargo ECRL, juga sebaliknya mereka yang di Kuala Lumpur boleh datang terus ke Tok Bali," katanya.

Bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), Che Asiah Mamat, 52, berkata beliau telah lama mengimpikan untuk memasarkan produk keropok keping dan keropok kepingnya ke kawasan tengah dan selatan tanah air tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

"Anak bersedia membantu dengan menjualnya menerusi dalam talian dan kini saya sedang mempergiatkan usaha menambahbaik pembungkusan keropok supaya lebih menarik dan pelanggan di Kuala Lumpur dapat menikmati keropok segar," katanya.

Peniaga produk hiliran dan barang basah, Rosiah Mohamad, 40, berkata beliau dan ibunya, Che Minah Che Muda, 53, bercadang untuk memasarkan barangan seperti ikan kering, budu, telur masin, gula Melaka, bawang putih jeruk dan petai ke Kuala Lumpur.

"Sekarang pun banyak permintaan barang-barang ini daripada pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi kami hantar menggunakan perkhidmatan pos dan bas. Bila siap ECRL ini, kami dimaklumkan boleh hantar melalui kargo kereta api laju," katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan sebagai berkata, pembinaan ECRL akan mempercepatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Putrajaya dalam masa empat jam dengan kelajuan 160 km/j, merangkumi 20 buah stesen dengan 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo, serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel