Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga kes wabak Chikungunya dilaporkan di Kampung Baru Simpang Pulai


Tarikh kemaskini: 26/07/2019




IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Sebanyak tiga kes wabak Chikungunya dilaporkan berlaku di Kampung Baru Simpang Pulai, Kinta di sini sejak 18 Julai sehingga Selasa lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kes itu melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan dua lelaki berusia 47 dan 67 tahun.

“Dua pesakit telah mendapatkan rawatan di wad sebuah hospital swasta di Ipoh manakala seorang lagi telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Semua pesakit berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan ke atas 89 rumah di kampung berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Pengesanan kes secara aktif (ACD) ke atas 912 penduduk di kampung itu yang telah disaring mendapati tiada kes baharu yang dikesan.

Pihak Jabatan Kesihatan juga menjalankan aktiviti ‘Larvaciding’, Semburan Ruang Thermal (SRT) meliputi 268 buah premis dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) meliputi 350 buah premis di sekitar kawasan wabak.

“Aktiviti pendidikan kesihatan seperti nasihat individu, tunjuk cara, edaran risalah dan hebahan awam telah dijalankan di situ,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, aktiviti kawalan dan pencegahan akan terus dilakukan di lokasi wabak Chikungunya terbabit dengan merancang aktiviti gotong-royong bagi memutuskan rantaian penularan penyakit itu di kampung berkenaan, esok.

 Vektor pembawa penyakit Chikungunya adalah nyamuk Aedes iaitu nyamuk yang sama menyebarkan jangkitan demam denggi.

Jabatan Kesihatan ingin menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dengan kebersihan di tempat kediaman dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekitar rumah dengan tidak menyimpan takungan yang boleh menjadi pembiakan nyamuk Aedes, seperti tong-tong yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Masyarakat kampung terbabit juga dinasihatkan supaya mengamalkan kaedah perlindungan diri dari gigitan nyamuk seperti penggunaan ‘repellen’ serangga apabila berada di luar rumah, terutama pada pukul 5.00 pagi hingga 7.00 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 petang serta memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang yang berwarna cerah.

“Masyarakat diminta memberi kerjasama kepada pihak Jabatan Kesihatan semasa menjalankan aktiviti semburan dengan membuka pintu dan tingkap rumah. Orang ramai juga boleh menggunakan semburan aerosol dan lingkaran nyamuk untuk membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah,” katanya.

Orang ramai diminta segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan daripada fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami demam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel