Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Enam lagi penguat kuasa JPJ dituduh atas kesalahan menerima rasuah


Tarikh kemaskini: 26/07/2019





BUTTERWORTH, 26 Julai (Bernama) -- Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,900 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan, bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Enam penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 itu terdiri dari Pembantu Penguat Kuasa Aminorrofee Rais, 44; Muhammad Faisal Salleh, 33;  Abu Ubaidah Yacob, 51; Azrul Faiz Md Saad, 36, dan Yusri Jusoh, 48, serta seorang pembantu pemeriksa kereta, Mohd Sarwani Mohd Nor, 34.

Kesemua mereka turut berhadapan 14 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat yang sama, bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Pada prosiding hari ini, Aminorrofee berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM4,150; Muhammad Faisal didakwa atas dua pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM1,800 dan Abu Ubaidah dituduh atas dua pertuduhan utama dan pilihan rasuah bernilai RM2,000.

Sementara itu, Azrul Faiz didakwa atas satu pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah sebanyak RM800; Yusri berdepan satu pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM1,000 manakala Sarwani dituduh atas tiga pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM1,150.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dihadapi mereka, ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit, yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam antara tahun 2016 hingga 2018.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong, bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM8,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan S. Selvaranjini manakala peguam Mohd Hakim Hamran mewakili lima tertuduh itu kecuali Abu Ubaidah yang diwakili peguam M.Hafiz Zainol Abidin.

Kesemua tertuduh itu adalah sebahagian daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang akan didakwa secara berperingkat bermula Rabu lepas, yang diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada Selasa.

Setakat ini, kesemua 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sini dengan jumlah pertuduhan 117 pertuduhan sama dan membabitkan nilai suapan RM104,550.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel