Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bayi lelaki maut lemas dalam baldi di taska


Tarikh kemaskini: 26/07/2019





SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut, dipercayai lemas dalam baldi berisi air di dalam tandas sebuah taska di Seksyen 32 di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP  Baharudin Mat Taib berkata, bayi itu ditemui pengasuh taska dalam baldi kecil berisi air dengan keadaan kepala telangkup ke bawah dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

"Sebelum itu pemilik taska berusia 30 tahun dan tiga pengasuh (taska) menjalankan aktiviti memancing di sebuah bilik aktiviti di taska tersebut.

"Seorang daripada pengasuh kemudian menyedari kejadian itu apabila memasuki tandas dan melihat bayi di dalam baldi kecil berisi air dengan kepalanya ke bawah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu pemilik taska bertindak membawa mangsa ke Klinik Desa di Jalan Kebun untuk mendapatkan rawatan.

Baharudin berkata bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 4 petang.

"Pemilik taska  turut menghubungi ibu mangsa berusia 37 tahun bagi memaklumkan keadaan anaknya.

"... dan bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi semalam mendapati tiada kesan penderaan fizikal terhadap mangsa," katanya.

Baharudin berkata bayi itu baru 10 hari dihantar ke taska terbabit dengan bayaran RM300 dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Tambahnya, ketika kejadian hanya ada 10 anak asuhan yang sedang dijaga di premis berkenaan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti punca kejadian dan sama ada wujudnya kecuaian.

“Pemilik taska juga telah ditahan kira-kira 10 malam tadi (semalam) untuk siasatan lanjut, " katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel