Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sehingga kini 367 unit rumah mampu milik jenis A telah diundi di N. Sembilan


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





PORT DICKSON, 25 Julai (Bernama) -- Sehingga kini pembeli 367 unit rumah mampu milik Jenis A, yakni rumah yang berharga RM80,000 di Negeri Sembilan telahpun diundi, manakala 983 unit lagi akan diundi sebelum Oktober hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru Negeri Teo Kok Seong berkata menerusi pembinaan rumah-rumah mampu milik, masyarakat yang berpendapatan rendah serta sederhana akan berkeupayaan memilik rumah mengikut pendapatan masing-masing.

"Dasar Perumahan Negeri Sembilan menetapkan setiap pemaju perumahan diwajibkan untuk membina 20 peratus rumah mampu milik Jenis A berharga RM80,000, 15 peratus Jenis B yang berharga RM250,000 dan 15 peratus Jenis C yang berharga RM400,000.

Bagi rumah mampu milik Jenis A di Taman Bayu Indera, Lukut ini yang dibangunkan oleh Seri Pajam Development Sdn Bhd, kerajaan negeri telah menetapkan syarat permohonan iaitu pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM3,500, telah berkahwin dan belum memiliki hartanah," katanya ketika berucap di majlis sesi pengundian rumah mampu milik taman Taman berkenaan dekat sini, hari ini.

Katanya daripada 410 orang yang mengemukakan permohonan bagi rumah mampu milik di Taman Bayu Indera itu, hanya 137 orang melepasi syarat yang ditetapkan serta melepasi tapisan dan semakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Pejabat Tanah dan Galian.

Teo berkata 54 orang pemohon akan diundi untuk fasa pertama projek rumah mampu milik Taman Bayu Indera, Lukut, manakala pemohon yang tidak berjaya secara automatik akan dimasukkan dalam fasa kedua untuk mengisi 83 unit rumah di situ.

"Saya dimaklumkan bahawa rumah mampu milik Jenis A ini akan mula dibina pada tahun ini dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh kurang dua tahun, iaitu selewat-lewatnya sebelum hujung tahun 2021 rumah ini boleh diduduki. Projek rumah mampu milik ini merupakan inisiatif swasta bagi mematuhi pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Sembilan.

"Jenis A adalah rumah mampu milik swasta di mana setiap pemohon yang berjaya perlu mendapatkan pinjaman perumahan dan mematuhi sepenuhnya prosedur kewangan yang ditetapkan oleh pihak bank.

“Kerajaan negeri menyediakan dasar untuk memastikan ada rumah mampu milik dalam setiap kawasan pembangunan perumahan. Langkah kerajaan negeri ini juga adalah untuk memastikan konsep rumah mampu milik ini menepati makna sebenar mampu milik," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel