Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan P.Pinang usaha jadikan sebahagian projek PTMP sebagai projek Persekutuan


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





GEORGE TOWN, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan segala usaha untuk membolehkan sebahagian projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dijadikan sebagai projek Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata jika projek-projek infrastruktur di bawah PTMP mendapat pembiayaan Kerajaan Persekutuan, ia membolehkan Kerajaan Negeri untuk membuat perubahan kepada perancangan asal termasuk pertimbangan berhubung projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

"Tetapi pada peringkat ini masih terlalu awal kita katakan, 'Ya, kita boleh dapat peruntukan Kerajaan Persekutuan'. Namun begitu, mesyuarat Exco pada minggu lepas telah memutuskan untuk secara rasminya kita akan tulis surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi memohon peruntukan persekutuan untuk melaksanakan satu atau dua projek.

"Satu keutamaannya adalah projek transit aliran ringan (LRT) dan keduanya adalah projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) yang kalau dijadikan projek persekutuan maka pertimbangan berhubung dengan tambakan laut itu boleh dilihat semula tentang skala, saiz, tempoh pelaksanaan dan sebagainya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, Chow mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendengar taklimat oleh SRS Consortium berhubung cadangan pelaksanaan projek PTMP di negeri ini.

Taklimat itu adalah susulan daripada sesi pertemuan Anwar bersama lebih 200 orang terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendengar masalah sebenar penduduk yang terlibat dalam isu PSR.

Chow berkata surat untuk memohon peruntukan persekutuan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam masa terdekat.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus mengadakan rundingan dengan para nelayan dan pihaknya terbuka untuk menerima cadangan, pandangan mahupun kritikan.

"Kita akan meneliti pandangan termasuk isu pokok untuk memberi keadilan kepada mereka yang mungkin terjejas oleh projek itu dan juga kita menerima cadangan sekiranya projek pengangkutan ini dapat dibiayai oleh sumber yang lain, boleh dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau menyokong usaha Kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai sebahagian daripada projek-projek di bawah PTMP.

"Ini saya tidak ada bantahan atau pandangan di sebaliknya tetapi sama ada ianya boleh dibiayai dari sumber lain termasuk persekutuan ataupun tidak itu kita akan rundingkan dengan Kerajaan Persekutuan dan saya akan menyokong usaha yang dibuat Kerajaan Negeri untuk mendapat perhatian yang lebih dalam hal ini.

"Bagi pihak Keadilan saya minta pemimpin-pemimpin PKR di negeri ini dan beberapa orang lain untuk mendengar keluhan ‘civil society’ dan nelayan terlibat dan mengemukakan dalam forum dalaman untuk pertimbangan kerajaan negeri dan ketua menteri," katanya.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel