Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hukuman berat menanti penjual 'ghost smoke' - Saifuddin


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual gula-gula 'ghost smoke' terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau mereka akan dikenakan hukuman berat jika didapati melanggar undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya memandang serius isu itu dan mana-mana penjual boleh dikenakan denda sehingga mencecah ratusan ribu ringgit atau hukuman penjara jika didapati melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita sedang lipatgandakan pemantauan dan beri tugas tambahan kepada penguatkuasa untuk lihat ghost smoke ini, jadi saya nasihatkan peniaga jangan jual sebab benda yang dijual tu murah, tapi hukuman sangat berat.

"Seperti kes di Kulim, pegawai penguatkuasa rampas 108 sachet gula-gula ini di premis runcit, nilainya hanya RM54... tidak berbaloi dengan hukuman," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Zon Utara di sini, hari ini.

Isu ghost smoke mendapat perhatian umum setelah satu video yang menunjukkan kanak-kanak sekolah 'menghisap' gula-gula itu dan mengeluarkan asap seakan-akan rokok, tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata siasatan awal pihaknya mendapati gula-gula berkenaan diimport dan mempunyai logo halal, namun diragui.

Menurut beliau gula-gula itu juga didapati sudah lama berada di pasaran dan biasanya dijual berhampiran kawasan sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, mengenai PKP di zon utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang beliau berkata seramai 31 individu dilantik dan proses lantikan akan diteruskan ke negeri-negeri lain selepas ini.

Katanya PKP berperanan untuk membantu kementerian dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kepenggunaan dan menjadi medium bagi pihak komuniti dan KPDNHEP.

"Mereka perlu memberi pemahaman dan melaporkan kepada kementerian berkaitan isu kepenggunaan yang dihadapi oleh pengguna dan peniaga di kawasan komuniti yang diwakili.

"PKP perlu tahu keadaan semasa dan fokus kepada isu pengguna termasuk kos sara hidup, transaksi atas talian, program food bank, subsidi petrolwum dan advokasi kepenggunaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel