Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rompakan MT Orkim Harmony antara kisah tak dilupa KP APMM


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUANTAN, 25 Julai (Bernama) -- Penglibatan dalam menyelesaikan kes rompakan kapal dagang MT Orkim Harmony antara kenangan tidak dapat dilupakan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar. 

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 5 Ogos depan setelah 42 tahun berkhidmat dalam sektor awam berkata rompakan pada 11 Jun 2015 yang dilakukan sekumpulan lanun itu melibatkan kapal dagang yang membawa muatan petrol bernilai RM21 juta. 

"APMM telah bertindak sebagai ketua pasukan siasatan dan rundingan dengan kerajaan Vietnam dan Indonesia diadakan bagi mengektradisi semua perompak ke Malaysia untuk siasatan dan pendakwaan juga membuahkan kejayaan," katanya. 

Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Istiadat Paluan Berundur Ketua Pengarah APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) di sini hari ini, yang melibatkan 303 anggota perbarisan dan kawalan keselamatan utama. 

Turut hadir ialah barisan pentadbir utama APMM iaituTimbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Laksamana Madya Maritim Datuk Tan Kok Kwee, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Mohd Yusoff Aman dan Pengarah Amsas Laksamana Muda Maritim Datuk Wan Mohd Affandi Wan Ahmad. 

Semasa itu, Zulkifli merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM dan selain MT Orkim Harmony, beliau juga akan mengingati kejadian pasukan tindakan khas menggunakan kaedah 'fast roping' dari pesawat udara untuk menaiki kapal minyak MT Lee Boo bagi menumpaskan 14 perompak di perairan Sedili, Mersing Johor pada 1 Jun 2018. 

"Di bawah pemerintahan saya, APMM juga telah berjaya mengurangkan sindiket penangkapan ikan oleh bot nelayan asing di seluruh negara, yang membawa kepada penubuhan ‘task force’ (pasukan petugas) bagi membanteras pencerobohan bot nelayan asing. 

"Oleh demikian, saya amat berharap APMM dapat meneruskan usaha yang gigih dan dinamik untuk masa depan. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada semua warga APMM untuk memastikan kita berada di landasan yang betul dan lebih cemerlang," katanya. 

Mengimbas penglibatannya dalam APMM, Zulkifli berkata beliau mula menyertainya sekitar April 2005 sebagai pasukan perintis yang bertanggungjawab dalam pembentukkan APMM dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam agensi sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 1 Jun 2016.

Sebelum menyertai APMM, Zulkifli pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 1977 hingga Mac 2005 dan diperjawatkan di beberapa buah kapal dengan jawatan terakhir sebagai pegawai pemerintah KD Jebat. 

"Semua pengalaman ini mematangkan saya untuk menerajui agensi ini. Sebagai Ketua Pengarah, saya dapat melaksanakan beberapa perubahan dalam memantapkan agensi seperti menyusun semula struktur wilayah maritim kepada konsep baharu maritim negeri yang secara keseluruhan menjadi lebih sistematik dan efisien," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel