Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek ECRL kini bawa lebih banyak manfaat kepada rakyat, limpahan ekonomi


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





DUNGUN, 25 Julai (Bernama) -- Hasil rundingan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat selain limpahan ekonomi kepada sektor pengangkutan dan pelancongan.

Ini dapat dilihat apabila pelancaran semula projek itu membolehkan syarikat tempatan memainkan peranan secara aktif dalam projek nasional tersebut berbanding sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata hasil rundingan semula itu telah berjaya meningkatkan peratusan penglibatan kontraktor pembinaan tempatan dari 30 peratus kepada 40 peratus.

“Kontraktor pembinaan tempatan yang berdaftar dengan projek ECRL akan berpeluang untuk membida kerja-kerja awam seperti pembinaan stesen dan depot,” katanya pada Majlis Pelancaran Semula ECRL di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, di sini.

Pembinaan projek ECRL itu ditangguhkan sejak Julai tahun lepas apabila kerajaan mahu berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Hasil rundingan semula, kerajaan dapat menjimatkan RM21.5 bilion apabila Fasa I dan II projek itu kini berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 billion ditandatangani oleh kerajaan terdahulu.

Projek yang ditangguhkan sejak Julai tahun lepas itu kini bermula dari Kota Bahru melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi/Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang sejauh 648km, dipendekkan 40km dari laluan asal sejauh 688km.

Loke berkata kos pengangkutan kargo melalui kereta api adalah dijangka lebih rendah berbanding pengangkutan jalan raya dan manfaat ini membolehkan pelabur di sepanjang jajaran ECRL menikmati kos pengeluaran yang lebih rendah dan seterusnya menjadikan harga barangan lebih kompetitif.

“Kewujudan ECRL juga dapat meningkatkan profil negara dalam usaha mempromosikan perkhidmatan logistik hijau atau ‘green logistics’ yang kini diuar-uarkan memandangkan pengangkutan rel ECRL yang berkuasa elektrik juga adalah lebih mesra alam berbanding pengangkutan jalan raya,” katanya.

Loke menambah limpahan ekonomi ECRL juga akan dapat dirasai dalam sektor pelancongan yang mana pengusaha-pengusaha homestay, perhotelan dan aktiviti-aktiviti pelancongan domestik akan meningkat susulan kunjungan ke destinasi-destinasi seperti Cherating, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu.

Loke berkata pembinaan ECRL yang mempercepatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Putrajaya dalam masa 4 jam dengan kelajuan 160 km/j, merangkumi 20 buah stesen dengan 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo, serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja.

Katanya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.

Perubahan jajaran ECRL, walau bagaimanapun, katanya, tetap memerlukan kelulusan daripada Kajian Impak Alam Sekitar, Kajian Impak Sosial dan Penilaian Impak Warisan.

Dalam pada itu Loke berkata pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah menguruskan kerja-kerja awalan pelaksanaan semula projek tersebut terutama di jajaran yang tiada perubahan.

“Di Terengganu sahaja, tiga buah terowong akan dibina iaitu Terowong Dungun yang terletak di Bukit Bauk merangkumi sepanjang 871 meter, Terowong Paka sepanjang 1,104 meter dan Terowong Kuantan yang merangkumi 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor, Terengganu,” katanya.

Selain daripada aspek keselamatan sepanjang pembinaan terowong bagi projek ECRL, Loke memberi jaminan bahawa tanggungjawab terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar juga dititikberatkan bagi membolehkan kelestarian alam semula jadi dan hidupan liar terpelihara.

Beliau juga berkata pembinaan semula projek ECRL bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL).

“Melalui pembinaan semula ECRL ini, PLKI-ECRL yang akan distruktur semula bakal memanfaatkan 5,000 anak tempatan berbanding 3,600 orang sebelum ini,” katanya

Projek ECRL itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2026.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel