Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pandelela tidak gentar menjelang Tokyo 2020


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





Oleh Omar Asim Mohd Zin

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Biarpun sudah sekian lama berada di gelanggang pertandingan, ratu terjun negara Pandelela Rinong tidak menafikan perasaan gemuruh itu tetap akan hadir dan jika ‘dilayan’ boleh membunuh prestasi pada hari pertandingan.

Justeru, atlet kelahiran Bau, Sarawak itu mengambil pendekatan lebih santai melalui minatnya terhadap dendangan lagu K-pop dan juga Inggeris sebagai alternatif untuk membantunya menepis perasaan itu.

Setahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet berusia 26 tahun itu mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan serta mahu memastikan kekuatan mental yang ada pada dirinya sekarang dapat dikekalkan hingga waktu bertandingan nanti.

Pandelela meraih dua slot ke temasya empat tahun sekali itu pada Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan menerusi acara 10m platfrom individu dan 10m platform seirama ketika bergandingan dengan Leong Mun Yee.

"Saya sering mengingatkan diri sendiri sekiranya saya berasa gementar saya tidak akan dapat membuat yang terbaik jadi kenapa perlu berasa gementar? Saya sepatunya berasa seronok menyertai pertandingan ini dan itu membuatkan prestasi saya lebih baik.

"Selepas Olimpik Rio 2016 tamat, saya terus membuat persiapan untuk Olimpik Tokyo. Sukan Olimpik adalah impian setiap atlet jika kita tidak mahu menunggu dan menyesal kemudian hari. Saya fikir saya lebih kuat dari segi mental sekarang berbanding pada Olimpik sebelum ini dan ini semua hasil latihan dan pertandingan yang saya sertai, saya kini lebih berpengalaman,” katanya kepada Bernama.

Pandelela ditemui selepas muncul dalam rancangan Nine11 di Wisma Bernama hari ini.

Kejohanan Terjun Dunia baru-baru ini menyaksikan skuad terjun negara meraih tiga slot ke temasya Olimpik - dua daripadanya menerusi Pandelela dan Mun Yee - manakala satu lagi slot menerusi Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal wanita individu.

Untuk rekod, Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform di Sukan Olimpik 2012 di London, menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat sukan Olimpik dan meneruskan prestasi baiknya di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memenangi pingat perak bagi acara terjun 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, gadis Bidayuh itu juga berharap lebih ramai penerjun negara dapat sama mengiringi beliau ke Tokyo, membawa cabaran negara di temasya berprestij itu.

Katanya, skuad terjun mempunyai dua lagi peluang untuk ‘mencuri’ slot ke Olimpik 2020 menerusi Kejohanan Terjun Piala Asia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Sept dan juga Piala Dunia, April tahun depan.

“Piala Asia adalah pusingan kelayakan kedua untuk ke Olimpik. jadi skuad akan berusaha untuk menambah slot melalui kejohanan itu. Kekurangan yang ada di kejohanan dunia sebelum ini boleh diperbaiki dalam sesi latihan di China nanti,” katanya.

Skuad terjun negara akan ke Sichuan, China untuk menjalani sesi latihan selama seminggu sebelum menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel