Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Eksport kayu Malaysia 2019 dijangka melebihi RM22.3 bilion


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan yakin bahawa eksport kayu-kayan pada 2019 akan melepasi angka RM22.3 bilion yang direkodkan pada tahun lepas disebabkan oleh peningkatan permintaan kayu serta produk perkayuan tempatan.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata untuk tempoh Jan-Mei tahun ini, eksport produk kayu menunjukkan aliran pertumbuhan yang positif, menokok sebanyak 2.3 peratus kepada RM9.1 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2018.

"Tahun lepas, industri kayu-kayan menyumbang 1.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau 2.2 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

"Untuk mengekalkan daya saing, saya berharap pengeluar produk berasaskan kayu Malaysia akan terus menawarkan variasi produk bagi memenuhi permintaan pelanggan-pelanggan baharu dan gaya hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kayu Malaysia 2019 di sini hari ini. 

Melalui inovasi dan kemajuan teknologi, pengeluar produk berasaskan kayu boleh menawarkan barangan yang lebih baik dan memperluaskan lagi pasaran tanaman itu. 

"Memandangkan kita sekarang berada di zaman pendigitalan atau industri 4.0, adalah penting bagi industri ini untuk mengiktiraf kepentingan pelaburan dalam teknologi, khususnya bagi meningkatkan produktiviti," katanya lagi.

Sekarang ini, pasaran eksport kayu terbesar Malaysia ialah Jepun, diikuti oleh Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, India dan Timur Jauh. 

Sebelum itu, dalam ucapan perasmian beliau, Kok menjelaskan walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang menghasilkan kayu, Malaysia telah mengotakan janji pada sidang kemuncak Rio Earth pada 1992 untuk mengekalkan lebih daripada 50 peratus kawasan hutan semulajadi di negara ini. 

"Sehingga kini, 55.3 peratus daripada tanah kita terletak di bawah kawasan perlindungan hutan. Sebagai sebuah negara pengeluar utama dan pengeksport produk kayu, kita telah membuat usaha yang besar untuk memastikan bahawa kita mampu membekalkan barangan secara sah yang disumberkan daripada kawasan hutan yang diuruskan secara lestari.

"Sehingga Jun 2019, kita mempunyai sejumlah 4.34 juta hektar (ha) daripada hutan yang diiktiraf, disahkan oleh skim Program Perakuan Pensijilan Hutan, bagi memenuhi permintaan terhadap produk kayu yang diperakui di peringkat global," katanya.

Malaysia yang amat memahami keperluan bagi melindungi flora dan fauna telah berjanji untuk menanam satu juta pokok hutan dalam tempoh 10 tahun bagi memulihkan hutan yang telah diterokasi, kata Kok.

Beliau berkata kira-kira 2,500 ha hutan yang diturun taraf di Kawaq Rendah di Hutan Simpan Ulu Segama, Sabah akan ditanam semula dengan spesis pokok asli. 

"Bagi pemuliharaan hidupan liar, Majlis Perkayuan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi kajian mengenai gajah pigmi dan perlindungan orang utan di Sabah, ia akan dibuat secara bersama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Jabatan Hidupan Liar Sabah. 

"Inisiatif ini mencerminkan keseriusan kita dalam komitmen dan sokongan, bukan sahaja untuk memastikan kelestarian hutan kita malah bagi melindungi habitat hidupan liar di hutan," katanya lagi.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel