Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan mansuh jawatan pengerusi MFL perlu dipersetujui kongres - Yusoff


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Cadangan memansuhkan jawatan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengarah badan itu dalam masa terdekat.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam perlu membentang cadangan penstrukturan semula itu, sebelum perkara itu dibawa ke Kongres MFL yang dijangka diadakan pada September ini.

“Pada masa ini, kita masih belum tahu dengan teliti mengenai penstrukturan semula ini. Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan ada mesyuarat Lembaga Pengarah, masa itu Kevin perlu membentangkan bentuk perubahan yang dijangka dan bagaimana penstrukturan semula itu akan berjalan.

“Jika mendapat lampu hijau daripada Lembaga Pengarah, kemudian perkara ini akan di bawa ke Kongres MFL untuk mendapatkan persetujuan daripada (24) pemegang taruh, iaitu kesemua pasukan yang bertanding,” katanya.

Semalam, Kevin dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pentadbir Liga Malaysia itu tidak menolak kemungkinan memansuhkan jawatan Pengerusi MFL sebagai satu daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam Pelan Strategik 50 Tahun (Next50) MFL dari 2021-2070 yang dilancarkan 15 Julai lepas.

Kevin berkata, Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana baginda tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya baginda memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata beliau tidak dapat menjelaskan bagaimana pentadbiran MFL akan berfungsi selepas ini, sebelum mendengar penerangan daripada Kevin.

“Tidak dapat jawab kerana tidak tahu apa bentuk struktur tanpa Pengerusi (MFL) ini, kerana kita belum ada maklumat daripada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif MFL), jadi dia mesti bentangkan dulu… mungkin ia lebih baik ataupun mungkin kita kena ada juga (Pengerusi),” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel