Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AirAsia anggap ulasan BAR sebagai “tidak penting dan hanya mengutamakan diri sendiri”


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kumpulan AirAsia menganggap ulasan yang dibuat oleh Wakil Syarikat Penerbangan (BAR) mengenai pertikaiannya dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai “tidak penting dan hanya mengutamakan diri sendiri”.

“BAR tidak mempunyai asas dalam isu ini memandangkan tidak ada anggota syarikat penerbangan mereka yang beroperasi dari klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2), mereka juga tidak terjejas oleh keputusan mahkamah, jadi, ulasan mereka adalah tidak penting dan tidak relevan.

“Kami tidak percaya BAR mampu membuat sumbangan secara positif atau memberi ulasan kerana mereka tidak mewakili syarikat penerbangan tambang rendah atau kumpulan penumpang yang membuat perjalanan dengan syarikat penerbangan tambang rendah," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd Riad Asmat dalam satu kenyataan hari ini. 

Pertikaian AirAsia dan MAHB tercetus selepas AirAsia enggan mengutip caj perkhidmatan penumpang (PSC) daripada penggunannya kerana percaya tidak sewajarnya, penumpang dibebani dengan bayaran perkhidmatan berkualiti rendah di klia2 berbanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur yang serba lengkap dan lebih luas.

“Sebaliknya, MAHB menyaman AirAsia bagi mendapatkan semula amaun yang tidak dikutip," katanya lagi.

BAR semalam mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak suatu permohonan oleh AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd bagi membatalkan pembayaran PSC.

Mahkamah Tinggi memutuskan pada minggu lepas, bahawa AirAsia dan AirAsia X perlu membayar tunggakan PSC sejumlah RM40.6 juta, selepas kedua-dua syarikat penerbangan enggan mengutip caj berkenaan daripada para penumpang sebagai bayaran kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

“BAR dalam satu kenyataan mendakwa keengganan AirAsia untuk mengutip caj ekstra PSC daripada penumpang 'telah menyebabkan permainan yang tidak sekata'. 

"Kami percaya dan mahu medan persaingan yang sekata, ia bukan hak mana-mana syarikat penerbangan tertentu untuk membuat penetapan,” katanya.

CEO MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin menyambut baik keputusan mahkamah dengan berkata MAHB akan dapat mengumpulkan jumlah PSC yang diwartakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia. 

"Melihat kepada ulasan-ulasan Raja Azmi dan BAR, adalah sangat luar biasa kerena ulasan yang dibuat oleh mereka adalah senada.

"Apa yang AirAsia lihat, ulasan mereka didasarkan kepada kepentingan proprietari dan bukan untuk keutamaan orang awam yang membuat perjalanan," kata Riad. 

Oleh itu, MAHB perlu mempertimbangkan secara serius rancangan untuk membina terminal syarikat penerbangan tambang rendah (LCCT) yang berdedikasi, yang mengenakan kadar yang lebih rendah seperti di Jakarta dan Tokyo.

Cadangan ini akan menyokong peningkatan industri penerbangan tempatan serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan yang utama.

Berdasarkan kepada data trafik penumpang MAHB, sejumlah 31.89 juta penumpang membuat penerbangan melalui klia2 pada 2018, 30.91 juta atau 97 peratus daripada mereka menggunakan pesawat Kumpulan AirAsia. 

Sebagai perbandingan, terminal utama KLIA, yang memberikan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat penerbangan naungan BAR hanya digunakan oleh 28.1 juta penumpang pada 2018. 

"Sejak 2017 sehingga Jun 2019, sebanyak RM1.4 bilion atau 75 peratus daripada jumlah bayaran dan yuran yang diremitkan oleh Kumpulan AirAsia kepada MAHB, merangkumi kutipan PSC, yang secara realitinya dikeluarkan daripada saku penumpang sendiri.

“Ini tidak termasuk tambahan RM23 yang sepatutnya dikutip oleh AirAsia tetapi syarikat penerbangan itu enggan melaksanakan caj itu ke atas penumpang-penumpang yang berhajat untuk ke destinasi luar ASEAN,” katanya lagi.

Baki 25 peratus pembayaran kepada MAHB terdiri daripada caj lapangan terbang seperti pendaratan, tempat letak kereta, sewa jambatan udara dan kemudahan-kemudahan yang ditanggung oleh Kumpulan AirAsia.

"BAR sepatutnya, tanpa ada bias, sedar bahawa LCC dan operasi LCC membentuk sebahagian daripada industri penerbangan dan pelancongan negara. 

“Mereka perlu melihat melalui gambaran yang lebih besar yang terkait dengan pengembangan industri penerbangan serta sektor pelancongan Malaysia seperti yang telah didukung oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bukan mengutamakan kepentingan diri sendiri yang agak sempit," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel