Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PIIACUF tonjol sisi berbeza Islam, tangkis stigma Islamofobia - Dr Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penganjuran Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) mampu menonjolkan sisi Islam yang berbeza ketika istilah Islamofobia mempengaruhi masyarakat dunia. 

Beliau berkata, istilah Islamofobia telah menyebabkan Islam disalah anggap dan dikaitkan dengan pelbagai konotasi negatif yang menyumbang kepada persepsi buruk dan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap Islam. 

Menyifatkan penganjuran Piiacuf sebagai tepat pada masanya, beliau berkata festival itu mampu membuktikan Islam tidak pernah meminggirkan seni dan budaya yang telah berperanan membentuk peradaban dunia.

"Malah, seni dan budaya Islamlah yang telah membentuk peradaban dunia,” katanya ketika merasmikan  Piiacuf 2019, yang memasuki edisi kelimanya, di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.

Bertemakan Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam, Piiacuf 2019 yang berlangsung sehingga 28 Julai ini antara lain akan memperlihat signifikan muzik dan vokal sebagai medium komunikasi menghubungkan manusia sejagat selain menjadi platform perkongsian ilmu, seni dan budaya negara Islam. 

Dengan menonjolkan seni budaya yang bercirikan Islam, Dr Wan Azizah berkata Piiacuf dapat mengambil peranan untuk menangkis stigma itu dengan penglibatan masyarakat dari pelbagai negara, ras dan latar belakang untuk menghargai kepelbagaian kesenian dan kebudayaan negara Islam. 

Dr Wan Azizah juga optimis Piiacuf akan menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara luar terutama kerajaan yang berteraskan Islam.

"Melalui jalinan kerjasama yang baik dan kolaborasi strategik, kita berpeluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama demi kecemerlangan dan kegemilangan,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menarik perhatian bahawa unsur seni dan budaya juga mampu menjana ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM529.8 juta pada tahun lepas melalui pameran dan pelbagai persembahan kebudayaan. 

Beliau berkata, jumlah itu dijangka bertambah tahun ini seiring dengan pertambahan pengunjung ke festival seperti Piiacuf dan usaha terhadap penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel