Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

HUSM bantu pembedahan 11 pesakit jantung bersama pakar United Kingdom


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KOTA BHARU, 25 Julai (Bernama) -- Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, membantu melakukan pembedahan amal ke atas 11 lagi pesakit jantung kongenital negeri ini melalui Program Kebajikan Pediatrik Kardiotorasik.

Penyelaras program Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata pembedahan itu dilakukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Healing Little Hearts (HLH) bermula Ahad lepas dan berakhir hari ini membabitkan pesakit berumur 20 hari hingga 32 tahun.

"Tahun ini sekali lagi HLH bekerjasama dengan HUSM untuk membantu melakukan pembedahan ke atas 11 lagi pesakit jantung selepas enam siri kerjasama sebelum ini.

"Pembedahan kali ketujuh ini dijalankan dengan bantuan lapan pakar diketuai pakar bedah kardiotirasik pediaktrik Dr Edward Peng yang merupakan seorang warga Malaysia yang bertugas di Royal Hospital For Children Glasgow, Scotland," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di HUSM Kubang Kerian yang turut dihadiri Pengerusi Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare) Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah di sini, hari ini.

HLH ditubuhkan pada 2007 di United Kingdom dengan objektif membantu memberikan rawatan dan pembedahan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital dan telah melaksanakan misi bantuan di 11 negara di Asia, Eropah dan Afrika.

Program itu turut disokong Yayasan Noor Al Syakur (YANAS), sebuah NGO yang diasaskan Tengku Puan Temenggong Kelantan Tengku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra, PADUcare dan Ronald McDonald House Charities (RMHC).

Dr Mohd Rizal yang juga pakar kardiologi pediatrik HUSM berkata setakat ini seramai 60 pesakit telah menjalani pembedahan melalui enam program itu sebelum ini yang mula dilaksanakan pada 2015.

“Program ini bukan sahaja untuk membantu pesakit jantung mengurangkan tempoh menunggu rawatan pembedahan, tetapi juga satu proses pemindahan ilmu dan kepakaran dalam bidang tersebut.

“Kami harap lebih ramai lagi dapat menghulurkan sumbangan agar program ini boleh dijalankan dengan lebih kerap sekali gus lebih ramai pesakit dapat dibantu," katanya.

Sementara itu ibu pesakit, Hasmaham Ibrahim, 40, berkata beliau amat bersyukur kerana anaknya Nursyafiqah Irdina Muhd Ruslam, 10 bulan yang menghidap jantung berlubang turut terpilih dalam program itu.

"Saya rasa sangat bertuah kerana awalnya anak saya tiada dalam senarai program ini. Alhamdulillah anak saya adalah pesakit pertama yang menjalani pembedahan dan kini saya lega melihat perkembangannya yang sangat positif. Terima kasih HUSM," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel