Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perangkap penipuan: tak percaya polis buat lebih ramai terjerumus


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUANTAN, 25 Julai (Bernama) -- 'Penyakit' tidak percaya kepada polis menyebabkan lebih ramai masyarakat terjerumus ke perangkap penipuan yang aktif mencari mangsa melalui media sosial dan panggilan telefon. 

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata mangsa boleh mengelak daripada mengalami kerugian besar jika membuat aduan berhubung panggilan yang meminta mereka menjelaskan bayaran atas pelbagai alasan secepat mungkin. 

"Jika ada terima panggilan itu, terus datang ke polis untuk kita semak dan sahkan betul atau tidak...yang telefon itu pun selalu mendakwa diri mereka polis sebab mahu mangsa panik lalu terus mengikut arahan menyerahkan wang yang mereka mahu. 

"Datang kepada kami. Jangan tunggu sampai sudah terkena dan walaupun banyak sindiket yang berjaya ditangkap, masih ada juga yang terpedaya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke-34, mengambil alih daripada Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang memangku jawatan itu sejak 14 Jun lepas.

Mazlan berkata masyarakat juga seharusnya memanfaatkan portal yang dilancarkan polis iaitu http://ccid.rmp.gov.my/semakmule yang membolehkan mereka menyemak akaun bank yang dikhuatiri terbabit dengan penipuan urus niaga dalam talian.

Masyarakat juga, menurut beliau perlu bijak dalam membuat keputusan terutamanya jika berhasrat mendapatkan pinjaman kewangan, supaya tidak terjerumus ke dalam kancah pinjaman wang tidak berlesen atau along yang akhirnya memakan diri.  

"Kebanyakan iklan along ini ditampal di pelbagai tempat termasuk di pokok. Mereka menawarkan pinjaman tapi bila dihubungi kata kena bayar pelbagai bayaran yang akhirnya hampir atau lebih daripada jumlah asal. 

"Masyarakat kena faham jika (syarikat) benar, mereka tidak menampal iklan di pokok. Jangan kaburkan diri sendiri kerana hal ini melibatkan keluarga. Banyak lagi saluran lain yang boleh mereka dapatkan pinjaman," katanya. 

Mengulas mengenai hantaran laman sosial yang menghina Nabi Muhammad S.A.W oleh seorang individu menggunakan nama Wendy Loong, Mazlan berkata polis sedang melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya. 

Beliau juga memberi amaran kepada pengguna media sosial untuk tidak menabur fitnah atau memuat naik hantaran yang boleh mengganggu ketenteraman awam, selain tidak mudah berkongsi atau memajukan hantaran yang bersifat sedemikian. 

"Kalau terima (hantaran) yang tidak ada pengesahan tak perlu kongsi. Sikap nak berkongsi ini kononnya nak kata juara tapi kalau kita buat siasatan berkemungkinan kita akan panggil semua yang terlibat," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel