Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Abd Jalil Ketua Polis Pahang ke-34


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





KUANTAN, 25 Julai (Bernama) -- Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke-34, berkuat kuasa hari ini. 

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang memangku jawatan itu sejak 14 Jun lalu selepas kerusi itu dikosongkan oleh Datuk Mohd Zakaria Ahmad yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. 

Majlis serah terima tugas antara mereka yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor. 

Abd Jalil, 56, yang mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia bermula 17 Dis 1989 dalam ucapannya berikrar mendukung misi dan visi pucuk pimpinan dalam memastikan Pahang menjadi negeri yang selamat dan tenteram. 

"Saya juga telah memperoleh data dan statistik kes dadah seluruh Pahang khususnya di kawasan tanah rancangan. Kami belajar dari negeri lain dalam usaha membanteras jenayah dadah seperti Kedah yang melaksanakan Jihad Dadah yang menunjukkan kejayaan dalam isu ini.

"Ketenteraman rakyat juga agenda utama saya kerana kami tidak mahu rakyat berasa gusar. Faktor ini juga penting sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 kerana kita mahu Pahang menjadi destinasi utama pelancong kerana mereka tahu keadaan negeri ini selamat," katanya. 

Abd Jalil juga berazam untuk mencipta budaya kerja yang cemerlang berpandukan semangat 'esprit de corp' pegawai dan anggotanya dengan kerjasama daripada Mohd Yusri selaku Timbalan Ketua Polis Pahang. 

Katanya, penugasan hanya mampu dilaksanakan dengan baik jika semua anggota, di setiap peringkat, menyumbang tenaga dan idea yang bernas ke arah penghasilan kualiti kerja yang bermutu dan kondusif. 

Sementara itu, Mazlan secara santai mengakui kunjungannya ke IPK Pahang sebagai 'mengimbau kenangan peribadi' kerana ayahnya, Mansor Mohd Noor merupakan Ketua Polis Pahang ke-13 daripada  tahun 1972 hingga 1976. 

“Saya adalah anak polis yang menyambung legasi pekerjaan ayah,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel