Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harimau: Terengganu tunggu hasil siasatan perlombongan dan pembalakan di Bukit Besi


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan di Bukit Besi, Dungun, didakwa menyebabkan kemusnahan habitat harimau sehingga haiwan itu tersesat ke sebuah perkampungan, minggu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai selepas menerima laporan siasatan tersebut.

"Sesiapa sahaja boleh buat sebarang dakwaan, namun apa yang berlaku ini mestilah melalui siasatan terperinci yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Bagi kerajaan negeri, kita memang ambil berat mengenai aktiviti pembalakan dan perlombongan ini.

“Kita sentiasa pantau agar semuanya mengikut piawaian dan peraturan yang ditetapkan bukan hanya ketika berlakunya kes harimau ini sahaja," katanya selepas majlis pelancaran 160 unit Rumah Pangsa Mampu Milik di Tok Jembal, di sini hari ini. 

Ahmad Samsuri berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang kesimpulan mengenai dakwaan tersebut sehingga laporan siasatan penuh dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan.

Khamis lepas, penduduk Kampung Besul Lama, Bukit Besi, gempar dengan kehadiran harimau yang dikatakan jinak kerana tidak menyerang haiwan dan manusia, malah beberapa video mengenai harimau itu menjadi tular dalam sekelip mata.

Keesokannya, harimau digelar Awang Besul itu berjaya ditangkap dalam operasi dijalankan Perhilitan sebelum dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak bagi mendapatkan rawatan intensif.   

Bagaimanapun, harimau tersebut disahkan mati pada awal pagi semalam akibat virus Canine Distemper, sejenis penyakit yang menyerang saluran pencernaan, pernafasan dan sistem saraf pusat .

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel