Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banci percubaan dijalankan untuk persediaan Banci 2020 - Mohd Uzir


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia sedang giat melaksanakan banci percubaan sebagai persediaan untuk Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dengan memanfaatkan teknologi dalam pengumpulan data, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata banci percubaan itu menggunakan sistem Online Self-Listing (OSL), e-Census, Computer Assited Personal Interview (CAPI) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) dan ia dijalankan di tempat kediaman terpilih di seluruh negara bermula hari ini sehingga 7 Ogos.

“Penggunaan teknologi Intelligent Character Recognition turut dipertimbangkan dalam pelaksanaan banci kali ini bagi memastikan pemprosesan data adalah cepat dan berkesan.

“Sementara itu, Statistics Data Warehouse (StatsDW) juga dibangunkan sebagai usaha memperkukuh sistem tadbir urus statistik mencakupi aspek sebaran, pengarkiban dan capaian data mikro serta data agregat yang boleh dimanfaatkan bagi pelaksanaan Banci 2020 akan datang,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Seminar Kependudukan Negeri Sembilan di sini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sambil menyifatkan ia tepat pada masanya, Mohd Uzir berkata pendekatan berkenaan merupakan pendekatan yang sesuai dengan kumpulan sasar iaitu generasi Z, generasi yang dilahirkan selepas zaman milenium iaitu awal 2000 sehingga sekarang.

“Generasi tersebut adalah generasi yang ‘technology savvy’,” katanya sambil menambah maklumat, statistik dan perkhidmatan yang bakal dihasilkan merupakan aset negara yang akan digunakan oleh semua lapisan masyarakat meliputi kerajaan dalam menggubal polisi serta pelabur,  penyelidik dan komuniti antarabangsa.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata penemuan banci berkenaan dijangka akan mencetuskan minat pengguna statistik rasmi di peringkat lokaliti bagi menambahbaik keperluan perancangan dan penggubalan dasar.

“Bertepatan dengan peredaran masa dan peralihan zaman, dunia kini tertumpu kepada era Data Revolution, Big Data dan Data Analytics. Statistik kini bukan sahaja digunakan sebagai alat pengukur prestasi semasa tetapi ia telah memasuki fasa yang lebih kompleks dan bidang statistik ini perlu bergerak seiring dengan beralih kepada penggunaan Artificial Intelligence (AI) dalam membuat prediction untuk sebarang kemungkinan senario yang akan berlaku di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan bahawa sehingga pertengahan tahun ini, penduduk di Negeri Sembilan direkodkan seramai 1.14 juta orang dengan 594,2000 adalah lelaki manakala baki 546,7000 adalah wanita.

Terdahulu, seminar sehari itu dihadiri seramai 250 peserta terdiri daripada semua Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel