Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penaja lewat bayar, punca bayaran gaji pemain Melaka tertunggak - Yusoff


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menghadapi masalah pembayaran gaji pemain kerana kelewatan penaja lepas menyelesaikan duit tajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendakwa pihaknya tidak dapat membayar gaji pemain, yang dikatakan tertunggak hampir tiga bulan, kerana wang tajaan yang dijanjikan pada Jun masih belum diterima. 

"Melaka diterajui oleh kepimpinan baharu, masalahnya adalah apabila beberapa penaja kita yang lepas belum membuat bayaran dengan sepenuhnya. Kita jangka mereka bayar bulan 6, tak bayar, “expect” bulan 7, tak bayar juga. 

"Kita sebagai pengurusan, kita janji sebab expect duit itu datang, tetapi sponsor belum menunaikan janji tepat pada masa. Saya tak cakap mereka tak akan bayar, cuma tak tepat pada masa, itu yang menyukarkan sikit pengurusan sehingga berlaku sebegini," katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan skuad Bawah-18 kebangsaan menentang Selangor United di padang Wisma FAM di sini, hari ini. 

Media pada Sabtu lalu melaporkan bahawa pemain Melaka tidak menerima gaji untuk hampir tiga bulan. 

Menggulas lanjut, Yusoff berkata pengurusan tertinggi pasukan sudah mengetahui masalah itu dan yakin langkah sewajarnya akan diambil supaya masalah tersebut tidak memberi kesan terhadap mood pemain dengan saingan Piala Malaysia bakal membuka tirai pada awal Ogos ini. 

"Saya rasa Presiden (Adly Zahari) sendiri akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak memberikan kesan kepada semangat pemain menjelang saingan Piala Malaysia nanti.

"Saya harap kita akan ada satu penyelesaian yang baik kepada pasukan ini, kerana saya rasa pasukan ini berpotensi untuk memberi cabaran dalam Piala Malaysia," katanya. 

Bagi edisi ke-93 Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pada 2 Ogos ini, Melaka diundi dalam Kumpulan D bersama juara 33 kali, Selangor, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mempunyai peluang yang baik untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Untuk rekod, Melaka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan keenam dengan 33 mata selepas 22 perlawanan.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel