Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis akhiri kehidupan mewah kumpulan jual air ketum


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





BUKIT MERTAJAM, 24 Julai (Bernama) -- Sekumpulan empat lelaki yang hidup mewah sejak awal tahun ini dengan memperoleh pendapatan sehingga kira-kira RM10,000 sebulan dengan menjual air ketum ditahan polis semalam, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, hari ini.

Katanya kegiatan keempat-empat lelaki yang berumur antara 25 dan 35 tahun itu terbongkar selepas rumah yang mereka gunakan untuk memproses ketum di Taman Markisah di sini itu diserbu kira-kira pukul 7 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan dalam salah sebuah bilik di rumah itu, polis menemui satu tong mengandungi 39 botol air berkarbonat mengandungi air ketum. Setiap botol itu terdapat 1.5 liter air ketum," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya pergerakan suspek-suspek ini sudah dipantau sejak seminggu lepas sebelum polis membuat serbuan itu yang membolehkan pelbagai peralatan untuk memproses air ketum dirampas dari premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini memperoleh bekalan daun ketum itu dari sebuah negeri jiran sebelum memprosesnya menjadi air yang kemudiannya diisi di dalam botol minuman berkarbonat agar tahan lama,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata setiap botol air ketum itu dijual pada harga RM10 dan sindiket ini dipercayai mampu menjual sehingga 1,000 botol sebulan di sekitar daerah SPT.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan dua daripada empat lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah. Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan di siasat menurut Seksyen 30(3)  Akta Racun 1952," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel