Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pusat beli belah diminta pastikan peniaga ada lesen perniagaan


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





JOHOR BAHRU, 24 Julai (Bernama) -- Pusat membeli-belah di bandar raya ini diingatkan supaya memastikan peniaga di premis mahupun kiosk mereka mempunyai lesen perniagaan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Abdul Malik Ismail berkata terdapat peniaga yang dikesan menjalankan perniagaan walaupun lesen perniagaan tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

“Semua pemilik bangunan perniagaan diminta supaya memastikan peniaga-peniaga mempunyai lesen dan sekiranya ia lesen berkelompok, maka mereka kena berurusan dengan MBJB.

“Jadi, kita juga minta pihak pengurusan (pusat membeli-belah) menasihatkan peniaga agar mendapatkan lesen dengan secepat mungkin, kerana kita akan beri notis peringatan dalam tempoh 14 hari dan sekiranya peniaga degil, kita akan sita,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan di sebuah pusat membeli-belah di Tampoi, di sini, hari ini.

Menurutnya, lesen kiosk di MBJB sebanyak RM300 setahun manakala RM50 sehari bagi lesen kelompok.

Abdul Malik berkata pihaknya juga akan menumpukan operasi penguatkuasaan di rumah-rumah kedai selepas ini kerana menjangka terdapat isu peniaga mengambil rizab awam selain tidak mempunyai lesen perniagaan.

Katanya, operasi penguatkuasaan dilakukan bagi meningkatkan kutipan hasil MBJB pada tahun ini.

Sementara itu, menerusi operasi yang dijalankan bersama 30 anggota penguat kuasa hari ini, sebanyak 266 premis termasuk kiosk diperiksa dan sebanyak 50 daripadanya (termasuk kiosk) diberikan notis peringatan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016 kerana melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen serta tidak memperbaharuinya.

“Ada kiosk yang mungkin sudah 10 tahun berniaga di sini. Pihak pengurusan juga memang maklum bahawa  lesen kiosk kena ada dan mereka (pihak pengurusan) juga kena kemukakan permohonan berapa bilangan kiosk dan kita akan luluskan.

“Jika mereka masih berdegil, kita akan datang kembali (di pusat membeli-belah berkenaan)  dan akan lakukan sitaan (premis atau kiosk peniaga),” katanya selepas operasi itu yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel