Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perhilitan Johor pantau Sungai Simpang Kanan susulan viral buaya


Tarikh kemaskini: 24/07/2019




BATU PAHAT, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor akan terus memantau kawasan sekitar Sungai Simpang Kanan di sini, terutama sekitar kawasan sungai berhampiran Kampung Sri Bengkal, Sri Gading, susulan tular dalam media sosial kehadiran buaya di kawasan itu.

Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan rasmi berkenaan reptilia berkenaan tetapi mengambil maklum mengenai kehadiran buaya itu yang tular dalam laman Facebook semenjak semalam.

Perhilitan di daerah berkenaan (Batu Pahat) telah melakukan tinjauan di kawasan sekitar namun semasa tinjauan dilakukan, tiada kelibat buaya kelihatan. 

“Di sini kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu bimbang kerana buaya ini tidak mengancam keselamatan dan kawasan sungai itu sememangnya tempat habitatnya.

“Saya juga menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung agar tidak mengganggu buaya berkenaan sehingga menyebabkannya bertindak agresif selain tidak mengambil tindakan sendiri sekira menemuinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pihak Perhilitan tidak akan memandang ringan isu berkenaan kerana ia turut membabitkan orang ramai kerana kedudukan sungai itu berhampiran dengan kawasan penempatan dan penduduk diminta bersedia untuk melakukan tindakan sewajarnya sekira keperluan mendesak.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan itu terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk 'memanaskan' badan namun tiada keperluan untuk memasang perangkap di sungai berkenaan.

“Kami akan terus pantau lokasi dan sekiranya didapati buaya ini mengancam nyawa manusia, kita akan pasang perangkap, tapi jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap,” katanya.

Semalam, tular rakaman video berdurasi 44 saat menunjukkan seekor buaya sedang ‘bersidai’ di tebing sungai yang didakwa, turut menimbulkan keresahan penduduk setempat.

Terdahulu pada awal tahun ini, di daerah ini kehadiran buaya turut tular dalam media sosial, di mana rakaman video berdurasi 35 saat memperlihatkan seekor buaya berenang di Sungai Batu Pahat.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel