Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Majlis Perundingan Industri babi untuk harmonikan penternakan babi secara moden


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





JOHOR BAHRU, 24 Julai (Bernama) -- Penganjuran Majlis Perundingan Industri babi yang diadakan semalam adalah bertujuan untuk mengharmonikan penternakan babi secara moden di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata program itu yang diadakan setiap dua tahun sekali itu, merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor dan terakhir sekali diadakan pada tahun 2017.  

“Tujuan majlis tersebut adalah untuk membentangkan kertas kerja kawalan pencemaran industri babi dan pendedahan ke arah penternakan moden. 

“Ini merupakan hasrat kerajaan negeri Johor untuk memodenkan industri penternakan babi, selaras dengan kaedah yang lebih bersih serta produktif dengan mengambil kira struktur masyarakat negara kita yang berbilang kaum dan keperluan untuk menjaga sensitiviti agama sebahagian rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau juga menyatakan kekesalan berikutan ada segelintir pihak berniat jahat sengaja mempolitikkan penganjuran majlis itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata Johor merupakan pengeluar ketiga terbesar industri babi di negara ini, selepas Perak dan Pulau Pinang, dengan 46 ladang yang mempunyai 284,859 ekor khinzir.

“Pada masa ini, terdapat lima ladang telah mengamalkan teknologi kandang tertutup sepenuhnya manakala 41 buah ladang masih dalam usaha ke arah itu.

”Jadi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor telah mencadangkan agar mengharmonisasi penternakan babi secara modern. Konsep ini perlu diperluaskan dan dilaksanakan di seluruh Johor dengan menepati ciri- ciri ditetapkan,” katanya.

Ciri-ciri tersebut ialah dengan mengamalkan sistem kandang tertutup, kumbahan sifar , amalan penternakan baik dan mewujudkan zon penampan 200 meter.

Dengan mengunapakai konsep penternakan babi secara moden ini dapat meningkatkan kualiti, produktiviti dan keselamatan hasil pengeluaran ladang serta mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

Selain itu, ia akan meningkatkan imej penternak dan ladang dari aspek penjagaan alam sekitar kerana berupaya mematuhi had pelepasan efluen mengikut piawai yang ditetapkan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel