Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Agensi bersepadu bermesyuarat Ahad bincang usaha atasi pencemaran sungai


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





JOHOR BAHRU, 24 Julai (Bernama) -- Usaha bersepadu berterusan antara agensi berkaitan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di negeri ini adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri yang dijadualkan Ahad ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dan berharap agar mesyuarat itu dapat membincangkan langkah dan tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah itu.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa ini, antara perkara yang kita nak bincang, salah satu agendanya ialah pencemaran sungai. Apa yang penting ialah tindakan bersepadu daripada pelbagai agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat 28 Julai ini yang akan disertai JAS dan pelbagai agensi lain akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon.

Sementara itu, satu mesyuarat khas untuk membincangkan mengenai tapak pelupusan sampah termasuk yang haram, akan diadakan esok, kata Wan Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai isu tahap pencemaran di sekurang-kurangnya 16 sungai di sekitar daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang dikesan semakin kritikal dan tindakan JAS mengenainya.  

Mengenai status terkini usaha pendakwaan ke atas tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan yang dijangka siap dalam masa dua minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kilang-kilang berkenaan dijangka didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.

Sebelum ini, tiga kilang berkenaan dilaporkan berpotensi tinggi sebagai punca kehadiran bau gas beracun methyl mercaptan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.

Tiga kilang itu disyaki sebagai punca selepas proses penyisihan ke atas 257 kilang bahan kimia di Pasir Gudang selain terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4.

Bau gas berkenaan disyaki boleh menyebabkan simptom muntah, loya dan sesak nafas, seperti yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan guru serta kakitangan sekolah-sekolah di Pasir Gudang sejak 20 Jun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel