Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tindakan tegas jika gula-gula 'ghost smoke' ada nikotin


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ sekiranya bahan nikotin ditemukan dalam kandungan produk itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ini kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang dan aktiviti penjualan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

“Kementerian telah memulakan kajian serta penelitian melalui sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti kesan memakan gula-gula 'Ghost Smoke' kepada kesihatan kanak-kanak dan hasil kajian itu akan diambil serius pihak kami.

“Sekiranya gula-gula ‘Ghost Smoke’ ini ada kandungan nikotin, kementerian boleh terus keluarkannya daripada pasaran dan mereka yang menjual itu juga boleh diambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula itu yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Menurut Dr Lee, sekiranya pelabelan gula-gula itu menepati piawaian dan tiada bahan terlarang ditemukan, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan dan pengedarannya dalam pasaran.

Bagaimanapun katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam boleh mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing sekiranya penjualan gula-gula itu didapati tidak mematuhi peruntukan dalam penjualan dan pengedaran. 

“Kami semua masih mengkaji sama ada pelabelan dan kandungan yang dipamerkan adalah selamat ataupun sama seperti yang terkandung dalam gula-gula itu.

“Di Kementerian Kesihatan, kami cenderung untuk melarang produk ini di pasaran kerana ia mempunyai unsur galakan kanak-kanak untuk terlibat dalam tabiat merokok apabila dewasa kelak,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel