Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usaha mencari anggota hilang diteruskan - Mohamad


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Usaha mencari dua anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah Jumaat lepas diteruskan melibatkan semua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan siasatan dari semua sudut berhubung kehilangan dua anggota tentera darat yang sedang bertugas dalam operasi di Pulau Perak itu.

Sambil menyifatkan kejadian itu adalah kes terpencil, beliau berkata pihaknya juga akan melihat dari segi keselamatan anggota yang bertugas di pulau itu.

“Usaha mencari masih diteruskan termasuk menggunakan semua cabang perkhidmatan ATM," katanya kepada pemberita selepas majlis  Makan Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia bagi tahun 2018 di Wisma Perwira ATM, di sini  hari ini. 

Semalam Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan kehilangan dua anggota iaitu Kpl David Edmund Rapi dan L/Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Okt 2016 yang membabitkan Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Okt 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi.

Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel