Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MoA bantu peladangnita pasar produk ke peringkat antarabangsa - Salahuddin


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) komited untuk terus membantu peladang wanita (peladangnita) dalam memasarkan produk mereka di pasaran domestik dan global, kata menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata selain membantu meningkatkan pendapatan, komitmen itu perlu diteruskan kerana melihat perkembangan peladangnita daripada aspek keusahawanan semakin maju serta kegigihan golongan tersebut yang kompeten dan konsisten dalam meluaskan produk mereka ke pasaran lebih besar.

"Saya melihat progres dalam bentuk di mana peladangnita ini merupakan usahawan yang gigih kerana dapat melahirkan produk-produk (berkualiti).

"...Saya rasa telah sampai masanya untuk kementerian melalui pelbagai agensi membantu memastikan produk mereka dapat dipasarkan sama ada di pasaran domestik atau pun insya-Allah di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Peladangnita Kebangsaan 2019. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman dan Ketua Pengarah LPP Azulita Salim.

Simposium Peladangnita Kebangsaan 2019 yang diadakan selama dua hari bermula semalam dihadiri hampir 500 peladangnita dari seluruh negara.

Simposium tersebut merupakan platform kepada peladangnita untuk berkongsi pengalaman serta maklumat berhubung pelaksanaan projek dan pemasaran serta membina jaringan perniagaan.

Salahuddin berkata beliau dimaklumkan bahawa kebanyakan peladangnita mengalami kesukaran memperoleh persijilan daripada aspek keselamatan makanan seperti sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

"Bagaimanapun, kementerian (MoA) akan memikirkan untuk mencari pemudah cara berkenaan perkara ini," katanya.

Katanya, agensi-agensi di bawah kementeriannya seperti LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa membekal maklumat mengenai insentif, bantuan, teknologi dan lain-lain kepada semua peringkat peladangnita.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel