Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Bekas pegawai bank yang mengendalikan akaun AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau diminta meletakkan jawatan pada 2015, dipercayai kerana terlibat dengan akaun Najib.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, juga berkata pada masa itu AmBank didenda RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) susulan kegagalan bank itu untuk memfailkan laporan transaksi mencurigakan.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan bahawa BNM mengenakan denda ke atas bank itu pada 23 Nov 2015 kerana kegagalannya melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun Najib.

Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu perkara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada perbicaraan hari ke-42 bekas perdana menteri itu,  yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Adakah anda tahu mengapa mereka (bank) didenda?

Yu: Saya hanya membaca mengenainya dalam akhbar, mengenai ketidakpatuhan. 

Harvinderjit: Adakah anda berhenti atau diminta untuk meletakkan jawatan?

Yu: Saya diminta meletakkan jawatan.

Harvinderjit: Adakah kerana terlibat dengan akaun Najib?

Yu: Saya percaya sedemikian. Mereka (AmBank) diletakkan di bawah tekanan jadi saya diminta letakkan jawatan.

Yu berkata dua lagi rakan sekerjanya, yang mempunyai kedudukan yang sama, Daniel Lee juga meletakkan jawatan dalam tempoh yang sama tetapi Krystle Yap terus bekerja seketika.

“Pada masa itu, pasukan itu lebih besar, terdapat kira-kira lapan orang tetapi Daniel dan Krystle mengendalikan akaun 1Malaysia Development  Berhad (1MDB) dan SRC. 

“Antara ketiga-tiga mereka, Yu berkata beliau adalah paling senior.

Saksi itu juga menafikan beliau sebagai perantara antara ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil (Nik Faisal).

Harvinderjit: Adakah anda perantara antara Jho Low dan Nik Faisal?

Yu: Tidak. Mereka saling berhubung, mereka tidak perlukan saya.

Harvinderjit: Anda juga perantara arahan antara Jho Low dan Nik Faisal?

Yu: Tidak, saya bertanya Nik Faisal untuk arahan kerana beliau adalah pemegang amanah akaun.

Harvinderjit: Anda mendapat arahan daripada Jho Low dan hanya merujuk kepada Nik Faisal untuk memformalkan dalam arahan bertulis?

Yu: Hanya arahan bertulis supaya bank boleh bertindak ke atasnya.

Harvinderjit: Malah surat (arahan) kepada Nik Faisal, anda yang draf.

Yu: Iya...sebahagian daripadanya. Ini untuk membantunya menangani lebihan pengeluaran dalam akaun Datuk Seri (Najib).

Semalam, saksi itu memberi keterangan Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal untuk mengendalikan tiga akaun semasa AmBanknya, yang berakhir dengan 906; 898 dan 880, yang semuanya dibuka pada 2013 yang bank hanya boleh bertindak dengan syarat terdapat arahan bertulis.

Merujuk kepada BlackBerry Messenger (BBM) perbualan antara Yu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M)  Ung Su Ling (Ung) , Harvinderjit menyoal saksi sama ada beliau mengetahui Jho Low mengarahkan Ung memindahkan wang tunai ke akaun Najib.

Harvinderjit: Anda terlibat dalam bilik bual, adakah anda mengetahui Ung menerima arahan daripada Jho Low?

Yu: Kami hanya mengaturnya untuk bank.

Harvinderjit: Jho Low beritahu Ung beliau perlukan RM2.5 bilion tunai daripada YR1M?

Yu: Saya tidak ingat siapa tetapi saya tahu seseorang telah menyatakan mereka perlukan wang tunai untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel