Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga reda pemergian bapa di Makkah


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





PASIR PUTEH, 23 Julai (Bernama) – Keluarga kepada Allahyarham Ismail Yaacob, 67, dari Kampung Telaga Papan di sini yang meninggal dunia di Makkah reda dengan ketentuan Ilahi.

Anak perempuan Allahyarham, Rosnoni  Ismail, 32, berkata bapanya membuat rayuan selama tiga tahun berturut-turut, dan akhirnya terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini.

Katanya, sebelum berangkat ke Tanah Suci 11 Julai lepas bersama isteri, Mek Koyah Noor, 70, Allahyarham kelihatan begitu bersungguh-sungguh hendak menunaikan Rukun Islam kelima itu.  

“Kalau gagal rayuan tahun ini bapa berhasrat nok pergi juga walaupun untuk mengerjakan umrah selepas musim haji,” kata Rosnoni ketika ditemui di rumah Allahyarham di sini, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung ketika tidur dan dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi hari ini waktu Malaysia (9.30 malam waktu Makkah).

Allahyarham merupakan imam tua Masjid Wahdatul Ummah Mukim Telaga Papan selama 30 tahun lepas,  meninggalkan tujuh orang anak termasuk tiga anak tiri, 34 cucu dan 12 cicit.

Rosnoni berkata, beliau mengetahui tentang kepergian bapanya selepas pukul 3 pagi tadi melalui salah seorang adiknya apabila dihubungi Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan bapanya tiga hari lepas menerusi panggilan telefon dan Allahyarham bertanya khabar tentang kesihatan keluarganya di kampung.

“Allahyarham juga memaklumkan beliau dan ibunya sihat dan berharap anak-anaknya dapat berdoa agar bapa dan emak mendapat haji mabrur,” katanya.

Rosnoni  terkilan  dalam kesibukan  bapanya untuk mengerjakan ibadah haji, bapanya dikatakan telah membeli dan mengirim buah kurma untuk anak cucunya di sini.

“Bagaimanapun kiriman itu belum sampai lagi sehingga ke hari ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel