Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hajat hantar mentua ke Makkah tidak kesampaian


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Esok Zakaria Tajuddin dan isteri akan berangkat ke Makkah menunaikan haji namun hari ini mereka dikejutkan dengan berita sedih kematian anak dan menantu dalam kemalangan jalan raya.

Malah Nur Syuhadah Zaini, 31, telah mengambil cuti esok untuk menghantar dan mengucapkan selamat jalan kepada ibu dan bapa mentuanya yang kini menginap di Kompleks Tabung Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Dia (Nur Syuhadah) memang sudah ambil cuti nak bawa saya bersama pergi hantar besan memandangkan saya tidak pernah ke sana, tempat baharu Tabung Haji itu," kata ibu Nur Syuhadah.

Fatimah Mohd Yatim, 60, yang ditemui di perkarangan Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini berkata semalam mereka bersarapan bersama dan tidak menyangka itu adalah kali terakhir beliau berjumpa dengan anak dan menantunya itu.

"Semalam kami sarapan sama-sama sebab ibu bapa mentuanya nak tunai haji, maka Nur Syuhadah ajak kami bersarapan bersama dengan besan saya.

"Pagi ini saya dapat berita kami kehilangan mereka buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sedih dan berlinangan air mata.

Nur Syuhadah dan suami Muhammad Hamadi Zakaria, 31, maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, motosikal berkuasa tinggi pasangan itu terbabas ketika cuba mengelak dua motosikal lain. Pasangan yang tinggal di Seksyen 19, Shah Alam itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasangan itu meninggalkan  dua anak perempuan, Hanna Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2 tahun.

Sementara itu, Zakaria berkata beliau reda dengan ketentuan Allah dan tetap akan berangkat ke Mekah bersama isterinya Halimah Mohd Isa, esok.

"Penerbangan dijangka 4 petang, semua urusan perlu dimulakan 11 pagi esok… apa yang terjadi hari ini semua perancangan Allah dan saya terima ketentuan Allah dengan reda," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel