Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Diplomat diingatkan pentingnya diplomasi budaya


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Semua diplomat muda Malaysia perlu mempromosikan budaya dan seni pelbagai negara secara konsisten yang melambangkan konsep "Malaysia Truly Asia", semasa bertugas di luar negara, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Menyifatkan pentingnya diplomasi budaya, Marzuki berkata ia merangkumi makanan, muzik, kesenian, lagu, tarian atau fesyen.

"Malaysia negara penuh warna-warni, mempunyai banyak budaya dan tradisi. Di Malaysia, kepelbagaian agama dan budaya menjadi sumber perpaduan.

"Diplomat perlu mengetahui setiap aspek diplomasi, termasuk diplomasi budaya," katanya sebelum merasmikan Hari Penghargaan Kebudayaan (CAD) 2019, di sini, Selasa.

CAD acara tahunan dianjurkan sejak 2016 oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), unit latihan di bawah Kementerian Luar Negeri yang menjalankan program untuk pegawai diplomatik Malaysia serta pegawai dari kementerian dan agensi kerajaan lain.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah IDFR Zakaria Nasir, dalam ucapannya berkata CAD meraikan perbezaan budaya dunia dan bertindak sebagai platform penting untuk mempamerkan kepelbagaian budaya.

"Ini adalah cara bagi merapatkan jurang antara negara dan mencapai keamanan sejagat serta pembangunan mampan. Dengan meletakkan budaya di tengah-tengah dasar pembangunan, ia adalah satu kaedah memastikan pembangunan inklusif dan saksama berpaksikan rakyat," katanya.

CAD mempamerkan semangat budaya Malaysia dan asing melalui pameran mini dikendalikan peserta tempatan dan antarabangsa yang menghadiri Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Kursus Diplomasi dan Kesedaran Antara Budaya ', MTCP: Diplomasi Ekonomi untuk Peserta Antarabangsa dan program 'Diploma Diplomasi' (DiD).

Diplomat Palestin Dina Rishmawi yang turut serta dalam CAD 2019 berkata, beliau gembira berkongsi budaya negaranya melalui acara itu.

Mengetengahkan pelbagai hidangan dari Palestin termasuk 'zeit o zaatar' (roti direndam dengan minyak zaitun dan thyme), wanita kelahiran bandar Bethlehem turut membawa bersamanya kurma dan gula-gula bijan.

Sementara itu, Hala Alotaibi dari Arab Saudi - berkongsi mengenai seni bina rumah tradisional di negaranya dan bagaimana faktor seperti lokasi dan cuaca mempengaruhi pembinaan sesebuah rumah. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel