Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Final Piala FA: Pelan alternatif jika Renan tidak dapat beraksi


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





ALOR SETAR, 23 Julai (Bernama) --  Ketua Jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Aidil Sharin Sahak mempunyai pelan alternatif jika pemain pertahanan importnya, Renan Da Silva Alves tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu ini.

Katanya beliau tidak terlalu gusar tentang perkara itu kerana terdapat beberapa pemain muda yang mampu mengisi kekosongan dan yakin masing-masing berupaya menonjolkan persembahan menarik.

“Kalau rayuan terhadap Renan ditolak saya perlu beralih melihat kerja keras dan latihan pemain lain setiap hari menjelang aksi final itu nanti, tetapi saya tidak boleh sebut siapa pilihan saya.

“Sudah tentu saya sedang mencongak pelan A dan pelan B dan kita akan lihat nanti siapa yang terbaik untuk diturunkan bagi menggalas tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita ketika mengendalikan sesi latihan di Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

Renan sebelum ini dilayangkan kad merah apabila menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Felda United, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Lang Merah tewas 5-1 di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang.

Sementara itu, Aidil Sharin berkata Perak tetap diletakkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi yang dipamerkan skuad “The Bos Gaurus” itu terutama selepas musim perpindahan kedua baru-baru ini yang melibatkan tiga pemain import baharu mereka.

Namun beliau tetap optimis anak buahnya dapat melakukan sesuatu pada perlawanan akhir tersebut asalkan tidak melakukan kesilapan dan menyempurnakan setiap peluang terhidang.

“Perak boleh menggelarkan mereka sebagai pasukan underdog, begitu juga kita tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kerana apa yang saya mahu para pemain mesti fokus sepanjang 90 minit permainan.

Pada masa sama, beliau berharap anak buahnya dapat melupakan aksi sebelum ini dan tugasnya kini adalah penting untuk memotivasikan pemain serta melatih mereka dengan lebih komprehensif sebelum aksi penting Sabtu ini.

Kedah akan bertemu Perak pada pentas akhir bagi merebut trofi Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Kali terakhir Lang Merah membawa pulang Piala FA adalah dua tahun lalu, apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel