Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli yang dikuarantin pulang ke Kuala Koh


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





GUA MUSANG, 23 Julai (Bernama) -- Seramai 173 Orang Asli suku Batek yang dikuarantin selama 36 hari di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani kerana jangkitan demam campak pulang ke rumah masing-masing di Kampung Kuala Koh, petang ini.

Mereka yang bertolak dari PPS Etnobotani pada 12 tengah hari menaiki lapan kenderaan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan diiringi kenderaan polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang, tiba di Kampung Kuala Koh pada 2.30 petang. 

Antara agensi kerajaan terlibat ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. 

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata Orang Asli itu ditempatkan di PPS sejak 18 Jun lepas selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) kerana jangkitan demam campak.

Katanya selepas keluar daripada hospital, mereka terpaksa dikuarantin di PPS dan tidak dibenarkan pulang ke rumah bagi mengelak penularan penyakit itu.

"Selepas keadaan kesihatan mereka bertambah baik dan bebas daripada penularan wabak penyakit itu ketika tinggal di PPS, hari ini kita hantar pulang ke rumah mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Sejak awal Mei lepas, penularan penyakit demam campak di Kampung Kuala Koh menyebabkan 15 Orang Asli suku Batek meninggal dunia.

Terdapat 112 lagi kaum itu yang turut dijangkiti menerima rawatan di HGM dan HKK sebelum dikuarantin di PPS Etnobotani bagi mengawal jangkitan penyakit berkenaan terus menular kepada penduduk lain.

Hashim Alang berkata mereka pulang semula ke rumah dalam keadaan selesa selepas beberapa pihak termasuk penduduk mengadakan gotong-royong perdana membersih kampung berkenaan Khamis lalu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel