Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KKM minta kerjasama agensi penguatkuasaan sempadan negara pantau kemasukan vape


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





 

SEREMBAN, 23 Julai (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan negara meningkatkan kawalan di pintu masuk terhadap produk yang membabitkan rokok elektronik atau vape bagi mengelakkan lambakkan produk tersebut di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata kemasukan produk tersebut dapat dikawal jika pihaknya mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP).

"Saya ingin menegaskan penguatkuasaan kawalan pintu masuk yang melibatkan Jabatan Kastam perlu dipertingkatkan, khususnya kemasukan produk yang bernikotin.

"Pihak KPDNHEP juga boleh membantu memainkan peranan dalam lambakan produk vape dan e-rokok ini, misalnya berbincang bersama FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) mengenai standard kawalan produk tersebut dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran KKM peringkat Kebangsaan kali ke-30 di sini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata bagaimanapun pihak KKM sendiri turut mengambil beberapa tindakan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pakar yang dianggotai penguatkuasa farmasi, sektor inspektorat KKM, KPDNHEP dan Rangka Kerja Kawalan Tembakau, 

“Jawatankuasa itu yang dipengerusikan timbalan saya Dr Lee Boon Chye telah bermesyuarat kali pertama pada 16 Julai lalu dan akan bermesyuarat untuk kali kedua, esok bagi memperincikan penguatkuasaan terhadap vape yang bernikotin dalam masa terdekat ini, memandangkan bahan vape yang bernikotin adalah dikawal dibawah Akta Racun.

“Bahagian Kawalan Penyakit juga sedang atur perbincangan dengan Kementerian Pendidikan mengenai isu penggunaan vape dikalangan pelajar sekolah,” katanya. 

Tambahnya KKM juga berharap agar kerjasama dapat dijalinkan dengan Suruhanjaya Komunikasi  dan Multimedia Malaysia termasuk stesen televisyen bagi memastikan iklan secara langsung atau tidak langsung terhadap vape dan bahan-bahanya dibanteras dan dicegah. 

Baru-baru ini media melaporkan penggunaan vape di kalangan pelajar sekolah yang dilihat semakin berleluasa bukan sahaja digunakan oleh pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.

—BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel