mwk1ezBAUYI Lepas paus dan pak belang, kini beruang muncul di Terengganu
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lepas paus dan pak belang, kini beruang muncul di Terengganu


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA TERENGGANU, 23 Julai (Bernama) -- Selepas kehadiran ikan paus dan harimau, kini muncul   pula tiga ekor beruang di sekitar Terengganu.

Beruang yang dipercayai daripada spesies beruang matahari itu dilihat berkeliaran di sekitar Felda Belara, di sini sejak dua minggu lepas dan mula menceroboh kawasan kebun dan penempatan hingga memaksa penduduk mendapatkan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Susulan itu, Perhilitan mula memasang perangkap di beberapa lokasi dan hasilnya, seekor daripadanya telah berjaya ditangkap kira-kira 9.30 malam tadi.

Seorang penduduk kampung yang menemui beruang terbabit, Mustaffa Tahir, 76, berkata beliau mula menyedari ia masuk ke dalam perangkap selepas mendengar bunyi bising dari belakang rumahnya.

Bagaimanapun, beliau dan beberapa ahli keluarga lain tidak berani menjenguk keluar kerana bimbang kejadian tidak diingi berlaku berikutan kawasan belakang rumah sangat gelap dan bercuram.

“Bunyi goncangan perangkap dan dengusan yang kuat membuatkan kami tidak berani turun ke bawah (belakang rumah) kerana bimbang beruang akan bertindak lebih agresif.

"Jadi awal-awal pagi tadi saya serta anak lelaki, Muhammad Yusri, 30-an, turun ke bawah untuk memeriksa perangkap dan lihat seekor beruang besar hitam sedang tidur di dalamnya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Beliau berkata kehadiran beruang tersebut menyebabkannya kerugian lebih RM12,000 selepas 19 sarang kelulut dan enam batang pokok kelapa matang yang sudah hampir berbuah dimusnahkan oleh haiwan terbabit.

Mustaffa berkata perangkap tersebut baru sahaja dialihkan Perhilitan ke belakang rumahnya petang semalam kerana sebelum ini diletakkan di belakang rumah jirannya namun tidak berjaya memerangkap haiwan terbabit.

"Mungkin kerana umpan yang digunakan ialah sarang kelulut jadi cepatlah mengena," katanya yang telah memaklumkan kejadian itu kepada pegawai Perhilitan awal pagi tadi.

Seorang lagi penduduk, Noriah Abdullah berkata beliau belum mampu menarik nafas lega kerana terdapat dua ekor lagi beruang yang masih berkeliaran di kawasan Felda berkenaan.

Beliau bersama beberapa ahli keluarga pernah melihat kehadiran tiga haiwan berkenaan yang sedang memanjat dan memakan buah nangka di belakang rumahnya kira-kira dua minggu lalu.

"Jarak antara rumah dan pokok nangka dekat sahaja iaitu kira-kira 10 meter dan memang jelas nampak tiga ekor beruang memanjat dan makan nangka di atas pokok.

"Saya fikir mungkin beruang itu sekeluarga kerana seekor bersaiz besar dan dua ekor lagi saiznya agak kecil sedikit daripada yang seekor lagi," katanya.

Sehingga kini, Bernama masih berusaha untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan penangkapan dan punca kehadiran beruang terbabit daripada pihak Perhilitan.

Sebelum ini, sepasang Paus Orca atau Killer Whale muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada 16 Julai manakala pada 18 Julai, muncul ‘pak belang’ di Dungun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel