Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Johor berkenan kunjungi Pusat Pembenihan Ikan Kelah Biru di Mersing


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





MERSING, 21 Julai (Bernama) -- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengunjungi Pusat Pembenihan Ikan Kelah Biru di Kampung Air Merah di sini, hari ini, bersempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019.

Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir setengah jam di satu-satunya pusat pembenihan ikan kelah biru di negara ini dengan ditemani Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Pengusaha pusat pembenihan itu, Mohd Hanafi Awang berkata, Sultan Ibrahim kelihatan teruja dan menunjukkan minat terhadap ikan berkenaan.

“Kelah biru sangat unik dan tidak seperti ikan kelah merah yang boleh kita dapati dengan mudah. Kelah biru hanya ada di Endau Rompin dan ikan kelah merah kebanyakannya untuk dimakan tetapi kelah biru pula adalah untuk hiasan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Hanafi berkata, kelah biru juga mendapat permintaan sangat tinggi, namun, buat masa ini beliau tidak mengeksportnya ke negara luar kerana banyak memenuhi permintaan dalam negara.

Mendapat bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan Negeri Johor, Mohd Hanafi berkata perusahaannya itu bermula sejak 2012 dan sehingga kini beliau memiliki kira-kira 500 ekor kelah biru dan 3,000 kelah merah.

“Pada mulanya ia sekadar hobi tetapi sekarang bertukar komersial kerana perniagaan ini membawa pulangan yang lumayan.

“Harga pasaran bagi seekor kelah biru berukuran 12 inci ialah RM1,500 manakala kelah merah berukuran 18 inci ialah RM600.  Saya harap akan ada ramai lagi orang cuba untuk mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba pada 3.00 petang ini di destinasi terakhir bagi hari kedua KMJ iaitu di Dataran Teko Mersing, berkenan menunggang motosikal mengelilingi kawasan bandar Mersing serta beramah mesra bersama rakyat.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pula berkenan melawat pameran yang diadakan dan menyampaikan sumbangan antaranya kepada golongan asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Anakanda-anakanda Sultan Ibrahim iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta menantu, Datuk Dennis Muhammad Abdullah pula menyaksikan pameran selain menyertai sukan tradisional seperti laga biji getah, lawan kemuncup dan baling guli.

Perjalanan baginda pada hari kedua hari ini melibatkan laluan sejauh 253 kilometer menjelajah daerah Segamat, Kluang dan Mersing.

Esok hari terakhir KMJ 2019 akan bergerak dari Mersing ke Kota Tinggi sebelum singgah di Padang Awam Kulai serta Melita Premium Fresh Pineapple, Ulu Tebrau dan berakhir di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

KMJ adalah acara tahunan kalendar keluarga Diraja Johor yang dinanti-nantikan seluruh rakyat untuk bertemu Sultan Ibrahim dan seluruh kerabat Diraja Johor.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel